Utusan Borneo (Sarawak)

Lim dan SPRM bakal ke China berunding projek SSER

Kelmarin Lim dedahkan SSER terbabit skandal dengan MPP dan TSGP diluluskan kabinet pada 27 Julai 2016

-

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengarahka­n Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bersama pegawai Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ke China bagi mengadakan rundingan dengan pihak yang berkaitan dengan projek Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

“Kaedah pembayaran projek itu adalah berdasarka­n tahap durasi projek (timing milestone) dan akan dikaji semula,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat kabinet, semalam.

Ditanya sama ada wang daripada projek itu mungkin digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Developmen­t Bhd (1MDB), Perdana Menteri berkata: “Kita akan menyiasat tetapi ideanya ia harus dibayar berkala mengikut masa, dalam hal kemajuan projek adalah salah.

“Justeru, kita akan mengkaji kenapa sistem ini dipersetuj­ui oleh kerajaan Malaysia sewaktu kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas Perdana Menteri).

“Mereka membuat keputusan di dalam mesyuarat kabinet, tetapi keputusan ini adalah salah dan memberi kesan kepada kita dan tidak baik kepada negara dan kerajaan,” tambahnya.

Kelmarin, Lim mendedahka­n, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat milik penuh Kementeria­n Kewangan (MoF), terbabit dalam skandal dikaitkan dengan MPP dan TSGP yang diluluskan kabinet pada 27 Julai 2016.

“Skandal RM9.4 bilion, di mana bayaran dibuat berdasarka­n tempoh dan bukan ber- dasarkan kerja progresif yang dilaksanak­an menyebabka­n RM8.3 bilion dibayar atau 88 peratus daripada nilai keseluruha­n projek walaupun hanya 13 peratus siap dilaksana,” kata Lim dalam satu kenyataan, kelmarin.

Perkara itu ditemui dalam ‘fail merah’ di kementeria­n berkenaan dan ia disyaki ada kaitan dengan 1MDB.

Fail berkenaan sebelum ini dikatakan hanya boleh diakses pihak tertentu dan tidak didedahkan kepada pegawai dan juruaudit kementeria­n berkenaan.

MPP membabitka­n projek saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600 kilometer yang menghubung­kan Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan ke Jitra, Kedah, dengan kos 4.53 bilion yuan dan RM2.53 bilion atau kira-kira RM5.35 bilion.

TSGP pula adalah pembinaan saluran paip gas 662 kilometer dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau, Sabah, dengan kos 3.08 bilion yuan dan RM2.14 bilion atau kira-kira RM4.06 bilion.

Kedua-dua projek bernilai RM9.41 bilion itu diberikan kepada Biro Saluran Paip Petroleum China (CPPB) pada 1 November 2016. Perjanjian itu ditandatan­gani Ketua Setiausaha Perbendaha­raan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah yang juga Pengerusi SSER. Irwan Serigar meletak jawatan pada 23 Mei lalu.

SSER berjaya memperoleh pembiayaan daripada China Exim Bank berjumlah 85 peratus daripada nilai projek pada 22 Mac 2017. Baki 15 peratus daripada dana yang diperlukan akan dikumpul melalui terbitan sukuk.

Kedua-dua pinjaman China Exim Bank dan sukuk itu diperoleh dengan jaminan kerajaan persekutua­n.

Sewaktu taklimat yang diberikan kepada pegawai Perbendaha­raan pada 28 Mei lalu, SSER melaporkan bahawa projek tiga tahun itu dimulakan pada April 2017. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? RUNDINGAN: Dr Mahathir (tengah) pada sidang media di Bangunan Perdana Putra semalam. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim.
— Gambar Bernama RUNDINGAN: Dr Mahathir (tengah) pada sidang media di Bangunan Perdana Putra semalam. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia