Keterbukaan KM akui kekurangan, dengar pandangan mampu tambah baik PBB
KUCHING: Sikap keterbukaan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam mengakui kekurangan dan mendengar pandangan mampu menambah baik perjuangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Timbalan Ketua Pemuda PBB Fazzrudin Abdul Rahman berkata, cadangan-cadangan Pemuda ketika berjumpa dengan Presiden PBB itu diterima baik dan parti diyakini mampu bertambah baik di bawah pimpinannya.
Sambil menerima kritikan membina dan bersifat terbuka demi kelangsungan parti, perjuangan PBB juga wajar dipuji kerana selama ini melaksanakan polisi bermanfaat kepada rakyat.
Beliau bersetuju parti memerlukan pembaharuan bersesuaian dengan kehendak dan keperluan masyarakat masa kini.
“Dengan cadangan-cadangan sedemikian maka ia dapatlah dikaji dan dipertimbangkan. Kita harus menerima segala pandangan, kritikan dan cadangan dengan hati yang terbuka demi kelangsungan parti,” katanya kepada Utusan Borneo.
Beliau menyifatkan komen, kritikan dan cadangan terhadap parti sebagai isyarat positif bahawa masyarakat mengambil berat dan ingin melihat PBB terus relevan di Sarawak.
Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) memberi pengajaran kepada partiparti politik termasuk PBB dan parti- parti komponen Barisan Nasional ( BN) di Sarawak, jelasnya.
“Ini memberi peluang kepada PBB untuk membuat ‘stock taking’ terhadap budaya, polisi, pelaksanaan polisi dan kesannya terhadap masyarakat.
“Saya selaku ahli PBB akar umbi yang juga sangat sayangkan parti yakin hanya PBB sahaja yang mampu untuk memperjuangkan hak Sarawak,” ujarnya.
Malah, beliau bersetuju agar pembaharuan perlu dilaksanakan bersesuaian dengan kehendak dan keperluan masyarakat masa kini.
Fazzrudin yang juga ADUN Tupong diminta mengulas mengenai surat terbuka daripada individu bernama Azalea kepada PBB disiarkan sebuah portal berita semalam.
Selain reformasi parti, Azalea mengesyorkan agar semua jawatan dalam PBB dipertandingkan.
“Sebagai sebuah parti yang demokratik, PBB tidak perlu meletakkan kerusi selamat bagi individu tertentu.
“Perlu telus dalam pemilihan individu yang bakal menerajui parti. Saya yakin dan percaya sekiranya kerusi Presiden PBB dipertandingkan, Abang Jo kekal lagi sebagai presiden kerana beliau layak,” katanya.
Surat terbuka itu turut mencadangkan agar PBB mengetengahkan calon muda dan muka baharu pada pilihan raya.
Ujarnya, PBB sering mengemukakan calon veteran dalam pilihan raya berbanding parti lawan yang sentiasa mengetengahkan muka baharu dan bertenaga. Lebih penting lagi, calon muda.
“PBB tidaklah ketandusan calon sehinggakan kekal berterusan meletakkan calon tua dan veteran. Sekiranya veteran dan ‘perform,’ barangkali tiada persoalan.
“Walhal dalam PBB ada ramai ahli baharu profesional dan berketerampilan. Ada peguam muda, doktor, dan jurutera muda. Bangunkan mereka dan ambil jadi calon,” katanya.