Lepasan sekolah harus digalakkan sertai ILP: Kulasegaran
SIMPANG RENGGAM: Keputusan mewajibkan pegawai kanan kerajaan mengambil ujian kecekapan bahasa Inggeris akan memastikan mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi apabila berkomunikasi dengan pihak asing.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata ini penting kerana Malaysia menjadi tumpuan dunia yang mahu mempelajari bagaimana negara mengendalikan proses peralihan kuasa secara aman baru-baru ini.
“Sudah tentu ramai (pihak asing) akan bertanya dan ingin belajar dengan Malaysia, tapi kalau pegawai kita gagal berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan standard yang baik, ia akan mencemarkan reputasi negara.
“... dan ia akan menjadi cabaran kepada pegawai tinggi kerajaan untuk meningkatkan martabat negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan dan lawatan di sini, semalam.
Rabu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pendekatan baharu yang mewajibkan pegawai kanan kerajaan mengambil ujian berkenaan sebagai menambah baik kecekapan bahasa Inggeris mereka.
Dalam pada itu, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata sebuah Kolej Komuniti dan Politeknik Metro akan dibangunkan bagi meningkatkan akademik komuniti di kawasan itu.
Bagaimanapun, projek yang masih dalam kajian itu tidak memerlukan bangunan baharu untuk dibina dan akan menggunakan bangunan sudah siap sebagai pusat pembelajaran dan pengajaran. — Bernama IPOH: Kementerian Sumber Manusia akan membincangkan dengan Kementerian Pendidikan bagi menggalakkan lebih ramai lepasan sekolah memasuki Institut Latihan Perindustrian ( ILP), kata menterinya M. Kulasegaran.
Beliau berkata masyarakat terutama lepasan sekolah perlu mengubah persepsi mereka mengenai program ILP yang dilabelkan sebagai “tidak memenuhi tanda aras” memandangkan kebanyakan pelajar berjaya mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
“Tanggapan bahawa menyertai institusi tersebut menyebabkan pelatih terpaksa melakukan kerja-kerja yang mengotorkan tangan harus diubah.
“Mereka tidak menyedari bahawa hampir semua pelajar ILP berjaya mendapat pekerjaan, bahkan pelajar jurusan undang-undang pun tidak selalu mendapat pekerjaan apabila menamatkant pengajian,” kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog dengan pemain industri mengenai latihan kemahiran di Institut Latihan Perindustrian Ipoh di sini semalam.
Kulasegaran berkata pelajar yang tidak mencapai prestasi yang baik dalam pengajian selepas tingkatan tiga harus dirujuk untuk mendaftar masuk ke institusi tersebut.
“Tidak ada gunanya meminta mereka meneruskan pengajian sehingga peperiksaan tingkatan lima sedangkan mereka tidak menunjukkan minat dalam akademik.
“Oleh itu, membenarkan mereka mengikuti kursus berasaskan kemahiran akan memberi lebih banyak manfaat kepada pelajar dalam masa terdekat,” kata beliau.
Menurut Kulasegaran, terdapat 32 ILP di seluruh negara dan sesetengah ILP kurang digunakan sambil menarik perhatian ILP Ipoh hanya mempunyai 491 pelajar walaupun mempunyai kapasiti bagi 900 pelajar. — Bernama