Final Terbuka Perancis ke-11 Nadal Beliau akan bertemu Thiem yang bermain buat pertama kali di final
PARIS, Jerman: Juara sepuluh kali, Rafael Nadal, melangkah ke final yang ke-11 beliau di Terbuka Perancis apabila mudah menewaskan Juan Martin del Potro, sekali gus menempah pertemuan menentang Dominic Thiem, satu- satu pemain yang menewaskannyadipermukaan tanah liat dalam tempoh dua tahun terakhir.
Nadal mencipta kemenangan ke-85 beliau di Terbuka Perancis dan dengan hanya dua kekalahan apabila menewaskan Del Potro 6-4, 6-1 dan 6-2 pada perlawanan separuh akhir Jumaat lepas.
Pada final ke- 24 beliau dalam kejohanan Grand Slam, Nadal akan menentang Thiem yang menamatkan pengembaraan luar biasa Marco Cecchinato di sini, dengan melangkah ke final pertama beliau pada satu kejohanan besar apabila menang 7-5, 7-6(12/10) dan 6-1.
Thiem, pemain pilihan ketujuh kejohanan, adalah pemain Austria pertama melangkah ke satu kejohanan besar sejak Thomas Muster muncul juara di sini pada 1995.
“Ia adalah set pertama yang sukar dan Juan Martin mempunyai banyak peluang. Beliau mungkin sedikit tidak bernasib baik,” kata Nadal, yang memenangi 14 dari 17 permainan terakhir, dengan Del Potro harus menyalahkan dirinya sendiri kerana gagal menyempurnakan beberapa mata pendahuluan.
Nadal ada pemain kedua yang melangkah ke final sebanyak 11 kali pada satu kejohanan Grand Slam yang sama dan menyamai rekod yang dicipta Roger Federer di Wimbledon.
“Ia mustahil tanpa kerjakeras dan mengharungi saat sukar. Anda harus sentiasa fokus dan mengekalkan keghairahan dalam sukan ini. Saya tidak pernah mengimpikan pada 2005 apabila saya bermain final pertama di sini di mana saya akan memenangi satu lagi kejuaraan.”
Thiem adalah pemain tunggal yang menewaskan Nadal di permukaan tanah liat pada dua musim terakhir – di Madrid tahun ini dan di Rom pada 2017.
Tetapi Nadal beraksi cemerlang Jumaat lepas dengan melakukan 35 pukulan kemenangan dan hanya 19 kesilapan mudah berbanding 20 pukulan kemenangan tetapi 32 kesilapan mudah untuk Del Potro.
“Thiem adalah seorang pemain yang hebat. Beliau menewaskan saya di Madrid dan beliau mempunyai kekuatan, jadi saya harus menewaskannya di tahap terbaik saya,” kata Nadal.
Nadal, pemain nombor satu dunia, memulakan perlawanan Jumaat lepas dengan rekod 9-5 menentang Del Potro, termasuk semua tiga pertemuan di permukaan tanah liat.
Bagaimanapun, Del Potro kelihatan hilang rentak ketika bermain rali panjang.
Pemain pilihan kelima kejohanan itu, yang bermain pada separuh akhir pertama di sini sejak sembilan tahun, mempunyai tiga peluang mendahului kedudukan pada permainan ketiga dan juga pada permainan kesembilan tetapi gagal menyempurnakannya dan membolehkan Nadal menghukumnya untuk mengutip mata pertama.
Selepas itu, Nadal kelihatan tidak menoleh ke belakang dan mengesahkan kemaraan ke final yang ke-11 beliau di sini.
Cecchinato, pemain ranking ke-72 dunia, menyingkirkan tiga pemain pilihan untuk melangkah ke separuh akhir, termasuk bekas pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic di suku akhir.
Tetapi Thiem, 24, terlalu kuat dan sekarang percaya beliau mempunyai senjata utama untuk menghadapi Nadal iaitu sarapan.
“Saya perlu mengembalikan tenaga dan mempunyai sarapan yang baik untuk mengekalkan tahap yang baik. Tenaga penuh pada hari Ahad (final).”
Cecchinato tidak pernah memenangi sebarang perlawanan pada mana-mana kejohanan Grand Slam sebelum di Terbuka Perancis tahun ini tetapi beliau melangkah ke separuh akhir dengan beberapa kemenangan mengejut.
Beliau menewaskan pemain pilihan, Pablo Carreno Busta dan David Goffin sebelum membuat kejutan lebih besar dengan menewaskan juara 2016, Djokovic di suku akhir. — AFP