Pusat data raya Anhui papar penyepaduan teknologi, kehidupan
HUAINAN (CHINA): Selangkah memasuki ‘terowong masa’ di Pusat Demonstrasi Data Raya di Huainan, China, ternyata menyuntik pengalaman mengujakan antara penyepaduan teknologi serba canggih serta kehidupan seharian.
Malah, penyepaduan maklumat lampau dan terkini dipaparkan terowong yang menyamai fiksyen sains, juga membuktikan peranan teknologi serta data yang saling berkaitan dan akan terus berperanan penting untuk merangka perkembangan masa depan.
Tidak kiralah sama ada data masa sebenar itu memaparkan keadaan jalan di bandar ini yang terletak di wilayah Anhui di timur China atau sekadar merakam perkembangan di kawasan tumpuan awam seminggu lepas dan beberapa maklumat transmisi satelit tertentu, kesemua data itu disimpan kemas di pusat berkenaan yang dirakam menerusi teknologi paling inovatif dan pengendalinya yang berkemahiran tinggi.
Inilah pengalaman sekumpulan wartawan ASEAN yang berpeluang mengunjungi Pusat Data Raya ini bagi menyelami peranan serta data teknologi canggihnya.
Peranannya daripada aspek pemantauan kawasan awam menerusi CCTV (kamera litar tertutup) dan menara tinggi, mengemaskini maklumat cuaca dan persekitaran alam sekitar sehinggalah data terperinci masa sebenar penggunaan telefon bimbit di serata China yang beroperasi 24 jam.
Pusat dalam binaan berupa pavilion pelbagai fungsi, moden dan berteknologi canggih yang siap dibina pada 2017, dilengkapi ruang seluas kira-kira 5,000 meter persegi di Daerah Shannan dengan paparan pilihan termasuk ruang pameran aplikasi data raya, pusat pemantauan dan pusat dagangan.
Secara tidak langsung, ini turut menggambarkan Huainan baharu yang mempelbagaikan ekonominya seiring dengan perniagaan data raya era baharu, pengkomputeran awan dan internet.
Data raya pusat itu juga boleh digunakan bagi menambah baik pelbagai kawasan bandar itu termasuk aspek kehidupan penduduknya, pusat kesihatan, pelancongan, pengangkutan, komunikasi satelit, kewangan dan pendidikan.
Semua ini seiring dengan peranannya mempertingkatkan penyepaduan platform sumber maklumat kerajaan dan membuka perkongsian kesalinghubungan data awam menerusi gabungan data penyelidikan, data industri dan ekonomi digital.
Sebagaimana diakui Pengurus pusat transaksi data kemudahan itu, Ding Song Bai, pusat berkenaan ternyata mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan yang berminat mendapatkan data berkaitan.
Selain itu, kumpulan media ASEAN itu turut dibawa ke Lu’an iaitu antara bandar utama wilayah Anhui.
Datuk Bandarnya, Ye Luzhong, berpendapat dasar keterbukaan China kepada dunia yang bermula kira-kira 40 tahun lalu, bukan hanya mengenai perkembangan kemajuan bidang sains dan teknologinya, tetapi turut merangkumi usaha memperkenalkan budaya dan warisan tradisional negara tembok besar itu kepada dunia.
Beliau yang juga Naib Setiausaha Jawatankuasa Perbandaran CPC (Parti Komunis China) Lu’an, turut berkongsi keunikan beberapa tokoh sastera dan nama-nama terkenal dari Lu’an, termasuk Gan Yao, Penggubal Undang-Undang China dan Zhou Yu, jeneral terkenal pada zaman Tiga Kerajaan China, dan Li Gonglin, pelukis terkenal pada Dinasti Song.
Menurutnya, bandar itu mempunyai sejarah panjang dan asal usul peradaban Sungai Huaihe seawal 4,000 tahun sebelumnya dan turut dikenali kerana tarikan seperti Pergunungan Dabie, hutan buluh, taman, kawasan penanaman teh dan hasil batuan jed. — Bernama