Kabel rosak akibat kerja penggalian punca gangguan bekalan elektrik
KUCHING: Kabel bawah tanah 33kV di persimpangan Selangau-Mukah (sebahagian daripada tapak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo) rosak akibat kerja penggalian sekali gus menyebabkan berlakunya gangguan bekalan elektrik jam 8 pagi Sabtu lalu.
Menurut kenyataan Sarawak Energy Berhad (SEB), gangguan bekalan elektrik itu telah menjejaskan lebih 500 pelanggannya di Jalan Sipiring, Kemena dan Ulu Sungai.
Bagaimanapun, bekalan elektrik berjaya dipulihkan jam 3 petang pada hari yang sama dengan menggunakan talian bekalan elektrik Tatau manakala kerja-kerja pembaikan terhadap kabel tersebut masih diteruskan.
Disebabkan kerosakan yang besar, kerja-kerja membaiki kabel itu dijangka pulih semalam.
Operasi dan Peruncitan SEB, Syarikat SESCO Berhad sangat memandang berat akan masalah gangguan bekalan elektrik disebabkan kerja-kerja penggalian terutama berhampiran tapak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang telah menjejaskan ramai pelanggannya.
“Kami telah menghantar juruteknik kami untuk membuat rondaan secara berkala bahkan turut memberi amaran kepada para kontraktor yang berkerja berhampiran kemudahan kami, namun kejadian seperti ini masih lagi berlaku,” kata Pemangku Pengurus Wilayah Tengah Hung Sing Ee.
Di Selangau sahaja sejak permulaan projek Lebuh Raya Pan Borneo pada 2017, terdapat 22 kes berkaitan penggalian yang mengakibatkan gangguan bekalan elektrik.
Pasukan serantau SESCO Sibu telah membuat banyak penglibatan dengan kontraktor termasuk memberi amaran dan mengenakan hukuman tetapi keadaan sedemikian masih berlaku.
Ketua Pegawai Eksekutif SESCO Lau Kim Swee berkata: “Kejadian ini dapat dielakkan sekiranya kontraktor memerikasa laluan kabel dengan SEB terlebih dahulu sebelum menjalankan kerja mereka.
“Membekalkan kuasa elektrik kepada pelanggan adalah keutamaan kami tetapi keselamatan kontraktor yang bekerja berhampiran dengan kabel dan pemasangan elektrik juga diambil peduli.
“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan SEB dan kami tidak mahu sesiapa sahaja tercedera termasuk kontraktor pihak ketiga.
Apa yang penting adalah kami mahu memastikan semua orang selamat,” kata Lau.
Lau turut menasihati kontraktor untuk tidak menganggar sendiri lokasi atau kedalaman kabel bawah tanah dan sentiasa periksa dahulu laluan kabel dengan pihaknya bagi memastikan ia selamat untuk bekerja.
Sejak 2016, SEB mencatat 135 kes kerja-kerja penggalian pihak ketiga merosakkan kabel bawah tanah dan kemudahan lain yang berkaitan.
Insiden itu mengakibatkan SEB kerugian lebih RM1 juta dan pada masa sama, menyebabkan kesulitan kepada pelanggan mereka.
Kontraktor boleh menghubungi pasukan teknikal SEB di 1300-88-3111 atau e- mel di customercare@ sarawakenergy.com.my bagi memastikan keselamatan tapak kerja mereka.