Pastikan menteri, timbalan menteri, pegawai tinggi mengisytiharkan aset
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mesti memastikan menteri, timbalan menteri dan pegawai berpangkat tinggi dalam Kerajaan Sarawak mengisytiharkan aset mereka.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen berkata usaha kerajaan negeri mencontohi dasar pengisytiharan aset yang dilaksanakan oleh kerajaan pusat itu sangat penting sebagai usaha pencegahan rasuah.
“Memandangkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak akan bekerjasama mesra dengan kerajaan persekutuan PH, maka mereka harus mengikuti dasar-dasar yang kami laksanakan untuk tadbir urus dan ketelusan yang baik dalam kerajaan.
“Oleh itu, mereka harus mengikut pengisytiharan aset yang diperkenalkan oleh kerajaan persekutuan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mengulas mengenai beberapa menteri Sarawak telah mengisytiharkan aset mereka sebelum ini kepada Ketua Menteri sebelum ini, Chong yang juga pengerusi DAP Sarawak berkata ia masih tidak mencukupi.
Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini telah mengarahkan semua menteri, timbalannya dan pegawai tertinggi kerajaan mengisytihar aset kepadanya.
Pengerusi PH itu menjelaskan, maklumat mengenai aset yang diisytiharkan kepadanya itu akan diserahkan kepada agensi berkaitan sebagai usaha pencegahan rasuah.
Dengan cara itu, perdana menteri tidak akan dapat menutup kegiatan rasuah anggota kabinet dan pegawai kerajaan.