Pasaran getah dijangka meningkat minggu ini
KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan aliran peningkatan pada minggu ini, didorong oleh unjuran kenaikan harga minyak mentah dan penyusutan nilai ringgit selain pengumuman data ekonomi China yang positif.
Seorang peniaga berkata, kebimbangan mengenai kesukaran Venezuela melunaskan obligasi bekalan minyak mentah selain jangkaan pendirian Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum yang tidak cenderung untuk meningkatkan pengeluarannya dalam mesyuarat bulan ini, berkemungkinan memacu kenaikan harga getah pada minggu ini.
“Secara lazimnya, harga getah asli akan bergerak seiring dengan harga minyak mentah. Harga minyak mentah yang tinggi akan menjadikan getah sintetik yang berasaskan minyak mentah menjadi lebih mahal dan menyebabkan permintaan beralih kepada getah asli,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, peniaga itu berkata ringgit dijangka rendah berbanding dolar berikutan kemungkinan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah baharu pada minggu ini,
Mengulas impak data ekonomi China yang lebih kukuh, beliau berkata statistik itu menunjukkan permintaan terhadap getah akan kembali pulih, khususnya daripada segmen pembuatan tayar.
Data rasmi pihak kastam China yang diumumkan kel- marin menunjukkan eksport dalam denominasi yuan pada Mei meningkat 3.2 peratus berbanding tahun lepas manakala import dalam denominasi yuan menokok 15.6 peratus tahun ke tahun dan menyebabkan lebihan dagangan sebanyak 156.51 bilion yuan (RM97.36 bilion).
“Laporan turut menyatakan daya tahan permintaan global dijangka terus memacu perolehan untuk sektor sarung tangan getah,” katanya.
Bagi minggu yang baharu berakhir, pasaran getah itu kebanyakannya diniagakan bercampur-campur seiring dengan petunjuk pasaran hadapan serantau dan kebimbangan mengenai ketegangan dagangan global, terutamanya antara AS dan China.
Bagaimanapun, kerugian itu dapat ditampung oleh harga minyak mentah yang lebih kukuh selain penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS.
Bagi perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut 2.5 sen kepada 556.0 sen sekilogram daripada 558.5 sen sekilogram minggu lepas manakala lateks pukal berkurangan 31.5 sen kepada 441.0 sen sekilogram daripada 472.5 sen sekilogram.
Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang untuk SMR 20 merosot setengah sen kepada 558.0 sen sekilogram daripada 558.5 sen sekilogram manakala lateks pukal susut 23.5 sen kepada 443.0 sen daripada 466.5 sen sekilogram. — Bernama