APMM tahan bot bersama lima nelayan warga asing
ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kedah menahan sebuah bot nelayan kelas C tempatan bersama lima nelayan warga asing kerana melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai Yan, dekat sini pagi semalam.
Pemangku Ketua Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairillizhar Noraazmi berkata mereka yang ditahan berusia 25 hingga 50 tahun terdiri empat lelaki warga Kemboja dan seorang tekong rakyat Thailand.
“Kita menahan bot tersebut pada jam 1.22 pagi tadi (semalam) pada jarak lebih kurang 7.5 batu nautika dari pantai Yan dan pemeriksaan mendapati lima nelayan asing berada dalam bot itu bersama 1,800 kilogram ikan baja bernilai kira-kira RM900 dan dibawa ke jeti Maritim Kuala Kedah untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau dalam kenyataan di sini, semalam.
Dalam kes berasingan, beliau berkata pihaknya menahan sebuah bot nelayan kelas A (bot siput) bersama tiga nelayan tempatan termasuk seorang tekong berusia 21 hingga 51 tahun, awal pagi semalam, juga kerana didapati melanggar syarat lesen ditetapkan.
Katanya mereka ditahan pada 1.10 pagi di kedudukan kira- kira 2.2 batu nautika dari pantai Kuala Kedah dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 9(b) Akta Perikanan 1985, dengan tidak mengusahakan sendiri vesel tersebut dan melakukan penangkapan di luar waktu dibenarkan.
Hairillizhar berkata orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada APMM jika mengesan terdapat aktiviti pencerobohan dan nelayan melanggar syarat lesen untuk tindakan, menerusi talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 047310579. — Bernama