APM Sri Aman, Miri berjaya musnahkan sarang tebuan
SRI AMAN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) berjaya memusnahkan sarang tebuan di sebuah rumah penduduk di Jalan Sebor di sini, malam kelmarin.
Pegawai Pertahanan Awam Sri Aman Siti Huzaimah Ibrahim berkata, pihaknya dimaklumkan orang awam mengenai penemuan sarang tebuan itu sekitar jam 8.45 malam.
Bertindak atas maklumat, seramai tiga anggotanya dikerah ke lokasi kejadian bagi memusnahkan sarang itu.
“Setiba anggota kami di lokasi, didapati serangga berbisa sebesar bola sepak itu bersarang di bawah rumah papan penduduk terbabit.
“Kami mengambil masa setengah jam untuk memusnahkan sarang serangga itu menggunakan teknik semburan,” katanya.
Sementara itu di Miri, APM berjaya memusnahkan sarang tebuan sebesar sebiji bola tampar di sebuah rumah, Pujut 2 malam kelmarin.
Sarang tebuan yang berada atas sebatang pokok itu berjaya dimusnahkan dengan cara semburan ra- cun serangga dan dibakar.
Sebelum operasi dijalankan, sarang tebuan tersebut disedari oleh pemilik rumah apabila terkejut melihat serangga terbabit berterbangan di atas pokok.
Bimbang atas faktor keselamatan penghuni rumah terbabit, pemilik rumah bertindak menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah ( PKOD) Miri untuk meminta bantuan memusnahkannya.
Pegawai APM Miri Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata pihaknya menerima panggilan kes itu kira-kira jam 1.33 petang.
“Setelah menerima panggilan, beberapa anggota APM skuad Charlie membuat pemantauan sarang terbabit pada sebelah petang.
“Tiga anggota diketuai Prebet (PA) Robert Joanes ditugas memusnahkan sarang tebuan tersebut sekitar jam 8 malam,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Mohd Hazle Shah berkata, sarang tebuan tersebut berjaya dimusnahkan sepenuhnya dan operasi selesai kira-kira jam 9.10 malam.