Kerajaan Sarawak akan biayai sendiri kerja tambah baik fasiliti CIQS Tebedu
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membiayai sendiri kerjakerja menambah baik fasiliti di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tebedu dekat sini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerja-kerja tersebut pada mulanya akan dilaksanakan oleh kementerian bertanggungjawab di Kuala Lumpur.
Namun katanya, usaha tersebut sehingga kini tidak terlaksana dan mahu tidak mahu, kerajaan Sarawak perlu menggunakan dana sendiri bagi tujuan tersebut.
“Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo telah melawat Sarawak tahun lepas dan beliau memberitahu saya telah melawat Tebedu dan Entikong.
“Malangnya, fasiliti kita di CIQS Tebedu tidak begitu baik dan mahu tidak mahu, kerajaan Sarawak perlu membiayai sendiri untuk melengkapi fasiliti di CIQS Tebedu.
“Tetapi dengan syarat, Petronas memberi semula minyak dan gas kita,” ujarnya ketika berucap pada Malam Kebudayaan Indonesia-Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.
Majlis tersebut adalah sebagai penghargaan kepada Konsul Jenderal Republik Indonesia Bapak Jahar Gultom yang akan berpindah tugas pada hujung bulan ini selepas hampir empat tahun bertugas di sini.
Tambah Abang Johari, selain fasiliti di CIQS Tebedu, kerajaan juga akan menambah baik fasiliti dari Nanga Badau, Kalimantan, Barat ke Lubok Antu di Sri Aman terus ke Pelabuhan Tanjung Manis.
Usaha itu katanya, akan dilakukan dengan kerjasama kerajaan Indonesia khususnya Kalimantan Barat.
“Saya melihat jumlah da- gangan meningkat antara Nanga Badau dan Lubok Antu dan terdapat cadangan untuk mempunyai rel antara Nanga Badau terus ke Pelabuhan Tanjung Manis melalui Lubok Antu.
“Cadangan rel sudah pasti akan memudahkan pengangkutan barangan dan perkhidmatan dari Badau ke Tanjung Manis,” katanya.
Bagaimanapun, Abang Johari menegaskan rel tersebut hanya satu bentuk cadangan dan beliau tidak mahu ada pihak yang salah tafsir dengan beranggapan bahawa Sarawak mahu membina Transit Aliran Ringan ( LRT) di Lubok Antu.
“Jika kita mempunyai rel, ia akan dapat membawa kargo terus dari Badau ke Tanjung Manis melalui darat.
“Tetapi ini hanyalah satu bentuk cadangan dan bukan kita mahu membina LRT di Lubok Antu,” katanya pada majlis tersebut yang turut dihadiri Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.