Beri garis panduan perjelas hubungan agensi kerajaan negeri, persekutuan: Fatimah
KUCHING: Kerajaan persekutuan menerusi Ketua Setiausaha Negara (KSN) diminta memberikan garis panduan yang jelas mengenai hala tuju hubungan kerjasama antara agensi kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini penting untuk meleraikan kekeliruan skop tugas dan tanggungjawab serta kuasa antara kedua-dua pihak.
“Sekarang ini, kita dalam tempoh menyesuaikan diri dengan kerajaan baharu dan ramai ketua-ketua agensi dan jabatan persekutuan di negeri ini yang keliru dengan skop tugas dan tanggungjawab mereka terutama dari segi penerimaan arahan.
“Sebagai contoh, saya sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini perlu membuat lawatan ke Hospital Kota Sentosa, tetapi saya dimaklumkan bahawa lawatan tersebut tidak dapat diteruskan atas nasihat pihak atasan.
“Tetapi, tiada arahan yang jelas mengenai perkara ini dan saya minta pihak persekutuan memberikan arahan dan garis panduan yang jelas supaya kita dapat terus bekerjasama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Riang Ria Aidilfitri dan Ngiling Tikai anjuran Kelab Rekreasi Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak di Wisma Wanita, Jalan Sultan Tengah di sini, semalam.
Fatimah berkata, meskipun berlaku perubahan dalam kerajaan yang memerintah tetapi agensi dan jabatan kerajaan sama ada di bawah kerajaan negeri mahupun persekutuan harus terus bekerjasama.
Tegas Fatimah, apapun yang berlaku dalam peralihan kerajaan, komitmen kementerian terutama untuk membantu dan menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat tidak harus berubah.
“Bagi saya, soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat termasuk pendidikan tidak harus dipolitikkan.
“Sebagai contoh, bantuan bencana dan kebajikan, agensi dan jabatan kerajaan di peringkat negeri mahupun persekutuan tidak dapat melakukannya sendiri.
“Jadi, kita amat berharap selepas ini, kerajaan persekutuan menerusi Ketua Setiausaha Negara akan memberikan garis panduan yang jelas mengenai perkara ini dan kita akan patuh dengan apa-apa arahan daripada mereka,” katanya.
Bagi memperjelaskan lagi mengenai skop tugas dan tanggungjawab serta kuasa antara kementeriannya dengan kementerian di peringkat pusat, Fatimah dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga pada 27 Julai ini.
Pertemuan itu nanti diharap akan memperjelaskan mengenai hala tuju hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak yang mempunyai objektif yang sama iaitu memperkasakan wanita dan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir pada majlis itu semalam, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Ketua Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak Noriah Ahmad serta yang lain.