133 ahli politik dibunuh menjelang pilihan raya Mexico pada Ahad ini
KOTA MEXICO: Seramai 133 ahli politik dibunuh menjelang pilihan raya Mexico pada Ahad ini, kata firma rundingan Etellekt, ketika keganasan yang membelenggu negara meletus ke dalam politik dalam skala rekod.
Pembunuhan – kebanyakannya ahli politik peringkat tempatan, sasaran yang paling kerap bagi kartel dadah berkuasa di Mexico – direkodkan di antara September, ketika pendaftaran calon dibuka, dan semasa penutupan kempen pada Rabu lepas, apabila seorang datuk bandar sementara dibunuh di wilayah barat Michoacan.
Mangsa termasuk 48 calon yang bertanding untuk jawatan – 28 terbunuh semasa kempen awal dan 20 lagi semasa kempen pilihan raya umum, Etellekt, yang membuat kajian mengenai keganasan dikaitkan dengan pilihan raya, memberitahu AFP kelmarin.
“Keganasan ini tertumpu kepada peringkat tempatan. Sekurang-kurangnya 71 peratus daripada serangan ini adalah terhadap pegawai yang dilantik dan calon yang bertanding untuk jawatan di peringkat tempatan,” menurut pengarah firma, Ruben Salazar.
“Ini adalah hasil bagi masalah pentadbiran yang sangat serius di peringkat tempatan,” beliau memberitahu rangkaian radio Mexico Formula.
Hanya seorang daripada mangsa yang bertanding bagi pejabat persekutuan, jelas beliau.
Setakat ini ia adalah pilihan raya paling kejam dalam rekod di Mexico, yang turut menyenaraikan beberapa pembunuhan pada tahun lepas: 25,339.
“Dalam pilihan raya 2012... terdapat hanya sembilan ahli politik terbunuh dan seorang calon, menurut rekod kami,” kata Salazar.
Mexico dilanda gelombang keganasan sejak kerajaan mengerahkan tentera bagi membanteras penyeludupan dadah pada 2006.
Sejak itu, lebih 200,000 dibunuh – walaupun statistik tidak mengesan berapa banyak kes dikaitkan dengan jenayah terancang.
Seramai 30,000 lagi hilang.
Salazar menyatakan keganasan politik adalah berpunca daripada perpecahan kartel sejak perang dadah bermula.
“Kumpulan baharu yang muncul,,, menghapuskan ahli politik yang tidak mahu mencapai persetujuan dengan mereka,” beliau memberitahu AFP dalam temu bual terbaharu.
Mexico akan melantik seorang presiden, Kongres dan ribuan pegawai negara dan tempatan yang baharu pada hari ini, selepas kempen di mana rasuah dan keganasan menjadi isu dominan. — AFP