Rakyat perlu berdiri teguh di belakang kepimpinan Sarawak
KUCHING: Rakyat Sarawak perlu berdiri teguh di belakang kepimpinan Sarawak yang dipilih secara demokrasi serta bebas oleh rakyat yang mahukan kepimpinan sedia dikekalkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, dakwaan negeri ini sebagai pembangkang tidak wujud kerana kita mentadbir negeri ini mengikut acuan dan sentimen rakyat tempatan, tanpa dipengaruhi unsur-unsur politik luaran terutama parti berpangkalan di Semenanjung Malaysia.
“Selepas Pilihan Raya Umum ( PRU14) lalu, banyak pihak terutama penyokong pihak lawan mendakwa kononnya kita sebagai pembangkang.
“Itu tidak betul kerana kita walaupun tewas di peringkat pusat, namun di peringkat negeri kita sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju jelas iaitu kekal bersatu mempertahankan hak-hak Sarawak yang terhakis yang selama ini diambil oleh kepimpinan pusat berdekaddekad lamanya,” katanya.
Sehubungan itu, menurut Dr Rayong, rakyat negeri ini harus kekal bersatu dan berjuang bersama- sama barisan kepimpinan diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta barisan kabinet negerinya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Tikai Gawai 2018 di Rumah Panjang Lidom Ngelambong, Sungai Paya di Ulu Skrang, semalam.
Turut hadir ialah ADUN Meluan Rolland Duat, tuaituai rumah serta penduduk dari lebih lapan rumah panjang di Ulu Skrang termasuk lima tuai rumah dari DUN Meluan sendiri.
Katanya, dalam tempoh ini, kerajaan negeri cukup teruji memandangkan kerajaan pusat dikuasai kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional (BN) memaksa semua polisi sebelum ini berubah.
“Justeru, kita sebagai rakyat Sarawak harus bersatu dan kekal berganding bahu mempertahankan negeri ini agar hak-hak seperti yang termaktub dalam MA63 dikembalikan,” katanya sambil menambah agihan minyak yang diperolehi dari perairan negeri ini perlu dipulangkan kepada Sarawak setimpal sebagai negeri pengeluar minyak negara.
Bercakap lanjut beliau berkata, polisi kerajaan Sarawak yang komited membangunkan negeri terutama di kawasan luar bandar harus disokong sepenuhnya memandangkan kita masih ketinggalan berbanding di bandar.
“Pembangunan dari ‘rural to urban area’ harus segera dipraktikkan dan bukan ‘urban to rural area’ kerana kawasan bandar sudah maju dan memiliki segala-galanya.”
“Maka itu, saya sebagai ADUN Engkilili akan berganding bahu dengan semua agensi kerajaan serta badan-badan pelaksana bagi memastikan pembangunan di DUN ini mampu dilaksanakan terutama membabitkan jaringan jalan raya yang merupakan ibu segala pembangunan selain Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB),” tegasnya.
Nada serupa turut dilontarkan oleh Rolland Duat yang menyeru rakyat ber- satu dan berdiri teguh di belakang kerajaan yang sebelum ini dikenali sebagai BN.
“Memang agak malang apabila BN sudah tiada lagi namun hasrat, aspirasi serta misi dan visi kerajaan negeri kini harus disokong dan dipertahankan demi survival politik kerajaan negeri yang berjuang untuk rakyat Sarawak secara keseluruhannya.
“Kita tidak perlu terpengaruh dengan cerita yang dibawa segelintir individu yang cuba melaga-lagakan kepimpinan negeri dan pusat kerana kedua- dua kerajaan walau berbeza ideologi namun kerjasama keduaduanya rapat demi rakyat Sarawak,” katanya.
Katanya, keperluan mendesak rakyat Sarawak teruatama berkenaan agihan pembangunan tidak akan diabaikan terutama di kawasan luar bandar seperti DUN Engkilili dan Meluan.
“Sebab itu, suara saya dan (Dr) Rayong sering kedengaran setiap kali sesi bahas di DUN kerana kami menyedari kami harus berjuang untuk anda di kawasan pendalaman dan membawa sebanyak mungkin kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, BELB, air terawat dan sebagainya kerana ia adalah hak rakyat,” ujarnya.
Pada majlis itu, Dr Rayong mengumumkan pemberian geran MRP berjumlah RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK), manakala Biro Wanita turut mendapat RM10,000 dan masing-masing RM5,000 daripada Rolland menjadikan kesemua geran yang diterima Rumah Lidom ialah RM30,000.