Henry sumbang perahu baharu untuk murid dari Kpg Melayu Seberang Buso
KUCHING: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Buso dari Kampung Melayu Seberang Buso kini boleh menarik nafas lega apabila sebuah perahu baharu diserahkan kepada mereka.
Perahu itu merupakan sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep untuk kemudahan murid berulang-alik ke sekolah yang terletak di seberang kampung mereka yang dipisahkan oleh Sungai Sarawak Kanan.
Selama ini, kata Henry, seramai 30 murid dari Kampung Melayu itu hanya menggunakan perahu tambang ke SK Buso dengan kadar tambang 50 sen seorang.
“Bagaimanapun, perahu tambang itu sudah uzur dan tidak dapat digunakan lagi. Justeru, saya harap dengan sumbangan ini (perahu baharu) sedikit sebanyak akan dapat membantu bahkan memberi keselesaan kepada murid-murid dari Kampung Melayu Seberang Buso untuk pergi dan balik dari sekolah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyerahkan perahu tersebut kepada Ketua Kampung Melayu Seberang Buso pada satu majlis ringkas di kampung itu, baru-baru ini.
Henry berkata, kebergantungan terhadap perahu terutama untuk anak-anak Kampung Melayu Seberang Buso pergi ke sekolah perlu diatasi segera demi keselamatan mereka.
Berikutan itu katanya, beliau telah memohon kepada kerajaan Sarawak untuk membina sebuah jambatan menghubungkan kampung tersebut dengan seberang Buso.
“Permohonan ini telah pun mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dan kini pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang dalam proses penyediaan pelan dan sebut harga.
“Saya gembira dan bersyukur atas keprihatinan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah ini kerana dengan adanya jambatan menghubungkan kampung ini dengan seberang Buso nanti, ia boleh digunakan semua penduduk kampung termasuk murid-murid sekolah tanpa menggunakan perahu lagi,” katanya.