‘Projek sakit’ Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana siap Mac depan
JOHOR BAHRU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan bahawa ‘projek sakit’ Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, di sini, yang tergendala sejak lima tahun lepas (2013) akan siap dan boleh diduduki pada Mac depan.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata projek itu yang dikendalikan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) turut bersetuju untuk membuat bayaran denda lewat serah projek (LAD) kepada pembeli seperti termaktub dalam perjanjian pembelian perumahan.
“Pemaju iaitu SPNB sudah berjanji akan memberi tuntutan LAD sepenuhnya kepada pembeli cuma kemungkinan pembayaran akan dibuat dalam masa setahun secara peringkatperingkat.
“Saya difahamkan juga, satu rumah average LAD paling rendah adalah RM30,000 dan paling tinggi adalah RM60,000,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek berkenaan di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB Datuk Ahmad Azizi Ali, Datuk Bandar Johor Bahru Amran A. Rahman dan Pengarah Cosmic Master Development Sdn Bhd, Chok Kim Sin.
Zuraida dalam pada itu turut memberitahu satu surat akan dikeluarkan oleh SPNB kepada pihak bank yang terlibat bagi memudahkan pembeli berurusan dalam menyelesaikan bayaran tertunggak akibat kelewatan projek disiapkan.
“SPNB akan memberi jaminan untuk membuat surat kepada bank-bank ini mengatakan bahawa pembeli ini akan mampu menyelesaikan tunggakan ini dengan pembayaran wang LAD yang akan diselesaikan selepas Mac 2019.
“Jadi, saya harap pihak bank yang terlibat akan memberi kerjasama dengan memberikan ruang kepada pembeli dalam menyelesaikan hutang mereka,” katanya.
Beliau memberi keyakinan kepada pembeli bahawa projek perumahan berkenaan itu kini berada di peringkat akhir dan akan siap seperti yang dijanjikan.
“Awalnya, SPNB berhadapan kontraktor yang tidak dapat menjalankan kerja ikut jangka masa dan mempunyai masalah kewangan, jadi SPNB sudah berusaha mendapatkan kontraktor baru dan dapat menjalankan telah memberikan komitmen.
“Sekarang tidak menjadi masalah kerana kerja-kerja hampir 90 peratus siap. Cuma lif dan pintu dan aspek luaran seperti pelebaran jalan, air dan IWK sahaja jadi, Insyallah semuanya dapat dilaksanakan,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan hampir 1,000 pembeli Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana kecewa dengan sikap pemaju yang masih gagal menyiapkan projek tersebut biarpun sebelum ini memberikan pelbagai ‘janji manis’. — Bernama