RHB Research, Maybank IB Research kekal saranan ‘beli’ bagi VS Industry
KUALA LUMPUR: RHB Research Institute Sdn Bhd mengekalkan penarafan ‘beli’ terhadap saham VS Industry Bhd (VSI) dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM1.88 berbanding RM2.66 sebelum ini.
Firma penyelidikan berkenaan berkata ia yakin penyedia perkhidmatan pembuatan barangan elektronik itu menyediakan peluang pembelian yang baik, disokong asas yang kukuh dan prospek cerah, di sebalik pendapatan yang tidak menentu.
RHB Research menjangka syarikat itu akan menjana pertumbuhan pendapatan masing-masing pada 44 peratus dan 23 peratus bagi tahun kewangan 2019 dan 2020, disokong tempahan jualan yang memberangsangkan daripada pelanggan sedia ada VSI.
“Kami juga menjangkakan kontrak baharu daripada pelanggan baharu memandangkan VSI mempunyai rekod prestasi yang baik dan skala operasi yang semakin meningkat. Risiko kepada cadangan kami termasuklah tempahan projek baharu yang berkurangan dan kos input lebih tinggi,” kata firma itu dalam satu nota penyelidikan kelmarin.
Sementara itu, Maybank IB Research, turut menyarankan penarafan ‘ beli’, dengan menurunkan harga sasaran kepada RM1.95 berbanding RM2.16 sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata keputusan suku ketiga tahun kewangan 2018 syarikat tersebut tidak se- muanya suram selari dengan kenyataan media VSI bahawa mereka akan berunding dengan pelanggan utama mereka bagi mengurangkan tekanan kos daripada pembayaran levi pekerja asing
Pelaburan dalam automasi robotik dan kapasiti Skreen Fabric juga dilihat sebagai satu lagi cara meningkatkan keuntungan masa hadapan.
“Faktor- faktor ini akan membantu syarikat memulihkan sedikit margin bagi tahun kewangan 2019, meletakkan ia kembali ke landasan dalam mengekalkan trajektori pertumbuhan,” kata Maybank IB Research.
Pada 12.30 tengah hari, kaunter VSI meningkat tujuh sen pada RM1.49 dengan RM23.99 juta saham diniagakan. — Bernama