Sarawak akan peroleh lebih banyak dana selepas penguatkuasaan OMO 1958
KUCHING: Sarawak akan memperoleh lebih banyak dana hasil industri minyak dan gas selepas penguatkuasaan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 bermula 1 Julai 2018.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Datuk Peter Minos berkata dana itu akan digunakan untuk meningkatkan lagi pembangunan utiliti awam, infrastruktur, sosial dan ekonomi di bandar serta luar bandar Sarawak.
Ia katanya, bakal menyaksikan transformasi sebenar di Sarawak dan yakin ia merupakan suatu yang dimahukan dan ingin dilihat menjadi realiti oleh setiap rakyat.
Beliau turut menyifatkannya sebagai keperluan untuk pembebasan dan pemecutan ekonomi.
“Tanggal 1 Julai 2018 tarikh hebat dan penting untuk Sarawak kerana pada hari itu Sarawak menerusi Petros mengambil alih kuasa mengawal selia aktiviti-aktiviti minyak dan gas di bawah OMO 1958 dan Kanun Tanah Negeri (SLC 1957).
“Selepas ini, perjuangan mendapatkan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 ( MA63) akan diteruskan. Kedua- dua perkara ini sangat penting kepada semua rakyat Malaysia khasnya Sarawak,” katanya.
Menurut Minos bermula tahunpertamaselepasMA63 ditandatangani, Sarawak amat memerlukan dana untuk membangunkan sektor ekonomi tetapi hampir setiap kali apabila permohonan dikemukakan, peruntukan sukar diperolehi atas pelbagai sebab.
Akibatnya, tambah beliau Sarawak ketika ini masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek dan bidang berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia, antara faktor Sarawak terus merungut dan mengeluh.
Lebih menyedihkan katanya, banyak kampung dan rumah panjang di luar bandar Sarawak masih tidak mempunyai atau kekurangan kemudahan asas seperti air terawat, rumah, elektrik, jalan berturap, sekolah rendah dan klinik yang baik disebabkan kurangnya dana awam.
“Dengan sumber baharu dana daripada minyak dan gas, saya dapat melihat transformasi sepenuhnya akan berlaku di luar bandar.
“Isu pembangunan infrastruktur dan ekonomi luar bandar yang keterbelakang akan diatasi secara berperingkat manakala bandar sudah pastinya akan terus membangun dengan pesat,” katanya.
Ahli veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata dengan kata lain, Sarawak akan membangunkan negeri ini dengan lebih cepat dalam semua bidang menggunakan dana hasil minyak dan gas.
“Jika dipadankan dengan kuasa diberikan kepada Sarawak di bawah MA63, ini suatu yang sangat baik untuk negeri ini kerana kuasa-kuasa itu diperlukan bagi mempercepatkan pembangunan dan memenuhi aspirasi rakyat.
“Saya percaya setiap rakyat Sarawak amat mencintai Malaysia dan walaupun banyak perkara telah berlaku, Malaysia amat bermakna buat rakyat Sarawak.
“Menyelesaikan dua isu iaitu minyak dan gas dan kuasa-kuasa MA63, rakyat Sarawak sudah tentu amat gembira dan berasa bangga menggelar diri mereka rakyat Malaysia,” ujarnya.