Pusat kesihatan awam dirancang dibina di Miri
Dr Teo tampilkan idea bina pusat tempatkan banyak keperluan perubatan, rawatan kesihatan
MIRI: Selepas lebih 40 tahun melihat rakyat di sini bergelut dengan pelbagai masalah dan isu berkaitan perkhidmatan kesihatan, Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo tampil dengan idea membina sebuah pusat kesihatan awam menempatkan lebih banyak keperluan perubatan dan rawatan kesihatan.
Beliau berkata, usul membina sebuah bangunan Pusat Kesihatan Awam di bandar raya ini sudah difikir semasak- masaknya berdasarkan permasalahan berlaku dan aduan banyak diterima berhubung isu dan perkhidmatan kesihatan serta rawatan kurang memuaskan kerana ketiadaan doktor pakar yang khusus.
Di samping itu, kesesakan akibat populasi bertambah dan berlaku hampir di semua klinik atau poliklinik kerajaan di sini termasuk Hospital Miri merupakan alasan terbaik sebuah pusat kesihatan awam perlu dibina di sini.
“Sudah lebih 40 tahun saya dalam bidang ini (perubatan) dan sepanjang masa itu saya menyaksikan malah menerima aduan mengenai masalahmasalah yang timbul dan saya faham dengan keperluan kesihatan dan rawatan untuk rakyat di sini.
“Justeru, idea membina sebuah pusat kesihatan awam bertingkat timbul dan paling penting dapat menempatkan sebanyak mungkin perkhidmatan kesihatan di bawah satu bumbung termasuk jabatan kesihatan sendiri,” pada sidang media di sini semalam.
Menurutnya, pusat kesihatan awam baharu setinggi tujuh tingkat dan dianggarkan bernilai RM70 juta itu bukan sahaja menampung keperluan populasi di bandar raya ini malah di utara Sarawak.
Dr Teo optimis cadangan itu bukan sahaja mengatasi isu kesesakan dihadapi Hospital Miri, Poliklinik Miri dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Jalan Temenggung Datuk Oyong Lawai Jau dan sekitarnya malah menjadi pusat menyediakan khidmat kesihatan dan rawatan dengan kemudahan lebih canggih.
“Kita sudah mengenal pasti lokasi sesuai di Tanjung Lobang di sini seluas 8.5 ekar. Pusat kesihatan baharu dicadangkan itu merupakan sebuah bangunan tujuh tingkat dengan tingkat bawah menempatkan poliklinik keseluruhannya.
“Manakala enam tingkat lagi di atasnya dicadangkan untik keperluan hospital termasuk jabatan pakar, jabatan kesihatan serta klinik pergigian. Ini bermakna semuanya berada di bawah satu bumbung,” jelasnya.
Beliau menambah, kewujudan pusat kesihatan awam itu menjadi pusat sokongan untuk perkhidmatan utama disediakan di Hospital Miri.
Sudah lebih 40 tahun saya dalam bidang ini (perubatan) dan sepanjang masa itu saya menyaksikan malah menerima aduan mengenai masalahmasalah yang timbul dan saya faham dengan keperluan kesihatan dan rawatan untuk rakyat di sini. Dr Michael Teo Ahli Parlimen Miri
Katanya, wad bersalin di Hospital Miri mungkin boleh dipindahkan ke pusat baharu itu sekali gus meninggalkan ruang cukup luas untuk Hospital Miri menampung keperluan lain.
Selain itu, beliau turut membayangkan bangunan sama dikelilingi kemudahan parkir kereta sebanyak 500 lot.
“Saya optimis dengan usul ini berikutan maklum balas positif diberikan oleh Kementerian Kesihatan dan jika diluluskan ia merupakan projek pertama saya sebagai wakil rakyat di Miri,” katanya.
Hadir sama setiausaha politik beliau Voon Shiak Ni yang juga naib ketua Wanita PKR Kebangsaan dan ahliahlinya.