Syed Saddiq cipta sejarah menteri penuh termuda
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam mencipta sejarah apabila dilantik menyandang jawatan menteri penuh termuda di Malaysia.
Beliau yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan pada usia 25 tahun mengatasi rekod yang dipegang Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada tahun 1978, pada usia yang sama.
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu merupakan antara 13 menteri Kabinet dan 23 timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.
Mengulas mengenai pelantikannya, Syed Saddiq berkata perkara ini menunjukkan satu pengiktirafan yang besar kepada pandangan dan suara golongan muda di negara ini oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Kita harapkan melalui lantikan ini, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada anak muda untuk menyerlahkan diri pada masa depan.
Anak muda bukan sahaja pemimpin untuk masa hadapan tetapi hari ini juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat itu.
Syed Saddiq berkata antara perkara utama yang mahu dibawa beliau selaku menteri adalah membawa perubahan sikap dan budaya dalam kalangan golongan belia.
Menurutnya, golongan muda perlu mengetepikan perbezaan agama dan bangsa dan bersatu di bawah payung negara yang besar sebagai satu bangsa Malaysia.
“Kita juga mahu anak muda yang dinamik dan bekerja keras dalam menggalas sebarang tanggungjawab yang diberi. Ini modal insan yang mahu saya bawa dalam kalangan belia negara,” katanya. — Bernama