Keputusan diambil demi kepentingan pemegang saham selain keperluan modal kumpulan masa ini
KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) mengumumkan semalam Lembaga Pengarahnya telah memutuskan untuk melaksanakan haknya untuk tidak meneruskan pelaksanaan Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP) Ke-16 berdasarkan pasaran ekuiti semasa yang rendah yang turut memberi kesan kepada harga sahamnya.
Susulan keputusan itu, pemegang saham kini akan menerima dividen tunai akhir satu peringkat sebanyak 32 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2017, yang akan berjumlah sehingga RM3.5 bilion dan akan dibayar pada 6 Julai, 2018, menurut Maybank.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata keputusan itu diambil oleh Lembaga Pengarah selepas pertimbangan yang teliti berhubung kepentingan pemegang saham Maybank selain keperluan modal kumpulan pada masa ini.
“Berdasarkan harga pasaran semasa saham Maybank sepanjang tempoh pemilihan DRP dari 11-26 Jun, 2018 lebih rendah daripada harga saham Maybank baharu yang akan diterbitkan menurut DRP Ke-16 pada RM10 setiap satu, Lembaga Pengarah melihat dividen tunai penuh akan menawarkan nilai yang lebih baik kepada pemegang saham pada masa ini.
“Lembaga Pengarah yakin keputusan ini juga sejajar dengan matlamat kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan yang memerlukan kami untuk melakukan perkara yang betul setiap masa, termasuk saksama kepada semua pemegang saham,” jelasnya.
Farid berkata pembata- lan DRP Ke-16 tidak akan memberi sebarang impak yang ketara kepada prestasi Kumpulan atau struktur modal dan/atau keperluannya, atau modal saham terbitan, pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, tahap kadar hutang dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat.
“Maybank kekal antara bank permodalan terbaik di rantau ini dengan nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1) pada 13.37 peratus dan jumlah nisbah modal sebanyak 18.12 peratus (selepas dividen tunai akhir) sehingga pada akhir Mac 2018, iaitu lebih daripada mencukupi untuk menyokong pertumbuhan dan keperluan pengawalseliaan,” katanya.
Beliau juga berkata walaupun DRP dibatalkan, ia terus menjadi sebahagian daripada strategi Kumpulan bagi pengurusan modal yang baik dan akan berterusan pada masa depan jika relevan, berikutan ia menawarkan fleksibiliti yang mencukupi kepada pemegang saham dan Kumpulan.
“Kami komited untuk memastikan dividen kompetitif pasaran kepada pemegang saham kami dilengkapi dengan perancangan strategik keperluan modal kami, yang penting dalam mewujudkan pertumbuhan akan datang.
“Kedudukan kami sebagai antara kumpulan perbankan serantau yang utama diasaskan dan diperkukuhkan melalui kerelevanan dan nilai kami yang diwujudkan bagi pihak berkepentingan kami secara berterusan selama ini,” katanya.
Pemegang saham yang memilih DRP dan membayar duti setem RM10 akan dibayar balik fi RM10 oleh Maybank. — Bernama