Utusan Borneo (Sarawak)

LEBIH 10 TUDUHAN PECAH AMANAH MENANTI NAJIB

-

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan menghadapi lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC Internatio­nal Sdn Bhd.

Menurut sumber, Najib akan didakwa atas lebih 10 pertuduhan itu esok di Mahkamah Kuala Lumpur.

Mengikut sumber mahkamah, Najib akan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, yang terletak di Aras 4, Sayap Kanan, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Difahamkan kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan iaitu Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudianny­a akan dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Menurut sumber, Peguam Negara yang baharu Tommy Thomas akan mengetuai pihak pendakwaan dalam kes esok.

Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) dalam kenyataann­ya mengesahka­n Najib yang ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, di sini jam 2.35 petang berhubung siasatan SRC Internatio­nal Sdn Bhd akan didakwa esok jam 8.30 pagi.

Bekas perdana menteri telah hadir ke Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua kali bagi merakamkan keterangan berhubung kes SRC Internatio­nal Sdn Bhd.

SRC Internatio­nal ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementeria­n Kewangan pada 2012.

Pada 22 Mei lepas, Ketua Pesuruhjay­a SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata penyiasata­n SPRM pada 2015 terhadap Najib membabitka­n isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang dipercayai dipindahka­n daripada SRC Internatio­nal Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia