Utusan Borneo (Sarawak)

SPRM nafi senarai nama didakwa sebagai penerima dana haram 1MDB

-

KUCHING: Ketua Pesuruhjay­a Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) Mohd Shukri Abdull menafikan senarai nama yang didakwa sebagai penerima dana haram 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB), yang telah diedarkan dan ditular secara dalam talian.

“Saya tidak pernah melihat senarai itu. Bukan daripada pasukan petugas khas,” jawabnya ketika dihubungi semalam.

Dalam senarai penerima yang dikatakan, banyak parti politik, ahli politik kanan dan tokoh terkemuka terlibat kerana didakwa menerima dana haram daripada 1MDB.

Malah, beberapa nama parti politik yang disebut dalam senarai itu juga telah dibekukan akaun oleh SPRM barubaru ini untuk memudahkan siasatan seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Shukri yang merupakan anggota pasukan petugas khas 1MDB baru-baru ini mendedahka­n bahawa sejumlah 408 akaun bank milik individu, parti politik dan NGO - dengan dana berjumlah RM1.1 bilion telah dibekukan antara 26 dan 29 Jun.

Sehubungan itu, Mohd Shukri memberi amaran kepada semua penerima dana haram yang dipercayai daripada 1MDB agar mengembali­kan wang daripada akaun beku mereka kepada SPRM atau menghadapi tindakan undang-undang.

Beliau berkata tidak ada notis dikeluarka­n kepada penerima sebelum akaun mereka dibekukan kerana siasatan berterusan pasukan petugas khas 1MDB memerlukan unsur kejutan.

Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian baru-baru ini mendedahka­n bahawa SPRM telah membekukan akaun bank ibu pejabatnya selama tempoh tiga bulan.

Beliau berkata, parti itu telah menerima surat daripada bank yang memaklumka­n bahawa akaun ibu pejabatnya telah dibekukan untuk siasatan SPRM.

Walaupun beliau tidak menyatakan sebabnya, dipercayai siasatan SPRM dibuat berikutan laporan bahawa pihaknya menerima RM1 juta daripada 1MDB.

Namun, SUPP dengan tegas menafikan pernah menerima sebarang dana atau wang daripada 1MDB.

Laporan berkaitan isu tersebut telah dibuat oleh PKR Stampin atas tuduhan bahawa SUPP menerima RM500,000 pada 2012 dan RM500,000 lagi pada 2013 daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Stampin Jeffrey Mok membuat laporan di ibu pejabat SPRM negeri di sini pada 28 Mei.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia