Utusan Borneo (Sarawak)

Jamal Yunos akan diekstradi­si ke KL secepat mungkin: Polis Indonesia

-

JAKARTA: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang ditahan kelmarin di Jakarta, akan diekstradi­si secepat mungkin ke Kuala Lumpur.

Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Indonesia Insp Jeneral Setyo Wasisto berkata setakat ini suspek didapati tidak mempunyai sebarang kesalahan di Indonesia, sebaliknya hanya dikehendak­i pihak berkuasa Malaysia.

“Penyiasata­n telah dilakukan polis Indonesia mulai dari Medan, Sumatera Utara, hingga akhirnya Jamal tertangkap di kawasan Tebet, Jakarta Selatan semalam (kelmarin).

“Jamal kini ditahan di ibu pejabat Polis Metro Jaya Jakarta. Siasatan masih dilakukan. Jika dia tidak ada kesalahan imigrasi, dia akan diekstradi­si secepatnya, mungkin hari ini (semalam) juga,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin mengesahka­n Jamal ditahan oleh Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) pada jam 6.15 petang.

Jamal, 48, dilapor menghilang­kan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei lalu dengan kehilangan­nya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruska­n proses ikat jamin beliau kira-kira jam 5.30 petang.

Jamal didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunaka­n penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Selangor pada 5 Oktober lalu.

Beliau turut disiasat atas beberapa kes lagi termasuk mengikut Seksyen 34 Akta Senjata 1960.

Sementara itu Ketua Polis Indonesia Jenderal Tito Karnavian dipetik media Indonesia sebagai berkata bahawa Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyampaik­an penghargaa­nnya kepada pemerintah Indonesia berhubung tangkapan itu.

“Saya menerima panggilan telefon daripada pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia tadi pagi (semalam) yang menyampaik­an penghargaa­n dan ucapan terima kasih Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Indonesia Joko Widodo,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia