Utusan Borneo (Sarawak)

Geng pecah gudang, tebuk peti besi tumpas di kedah

-

ALOR SETAR: Polis Kedah menumpaska­n sindiket pecah gudang dan tebuk peti besi simpanan wang serta barang kemas di sekitar negeri dengan penangkapa­n lima lelaki warga Vietnam, di Sungai Petani awal pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah SAC Mior Farid Al Atrash Wahid berkata kesemua lima suspek berumur 25 hingga 30 tahun itu yang juga pekerja kilang itu ditahan pada 4.05 pagi oleh anggota pasukan khasnya di Taman Keladi selepas menyamun sebuah pasar raya di Kubang Pasu.

Pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah semalam, beliau berkata sindiket yang sebelum ini aktif menjalanka­n kegiatan haram di selatan tanah air itu , dikesan sering melakukan jenayah di Kubang Pasu, Alor Setar, Sungai Petani, Yan dan Baling sejak awal tahun lepas.

“Secara keseluruha­n, kegiatan sindiket itu membabitka­n anggaran kerugian kira-kira RM100,000 dengan setiap lokasi jenayah mengalami kerugian antara RM5,000 hingga RM50,000,” katanya.

Beliau berkata sejak tahun lepas sebanyak 20 kes pecah dan tebuk peti besi berlaku di Kedah dan dipercayai ada kaitan dengan kumpulan itu yang sering memecah masuk dan menebuk peti besi di lokasi sasaran pada jam 2 hingga 5 pagi.

“Wang rompakan pula telah dipindahka­n ke Vietnam melalui beberapa transaksi awal tahun ini,” katanya.

Susulan tangkapan itu polis turut merampas pelbagai jenis peralatan ‘grinder’dan gerudi, lebih dari 70 keping mata ‘grinder’, cutter serta peralatan pecah rumah dan samun seperti kuku kambing, pemutar skru, tukul, gerudi, sarung tangan dan topeng tutup mulut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan manakala kesemua suspek direman tujuh hari bermula kelmarin. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia