Utusan Borneo (Sarawak)

Cukai pelanconga­n akan dikaji semula

-

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengkaji semula keperluan pelaksanaa­n Cukai Pelanconga­n dalam memastikan ia tidak menjejaska­n kedatangan pelancong ke negara ini, kata Menteri Pelanconga­n, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Katanya cukai yang dikenakan pada kadar RM10 bagi setiap bilik untuk satu malam itu perlu dikaji untuk mengetahui pendapat dan pandangan semua pihak terlibat terutamany­a pelancong sama ada kadar itu terlalu tinggi atau munasabah.

“Ya ( akan kaji semula) kerana kita nak tarik pelancong, kita perlu cari satu kaedah buat pelancong supaya mereka boleh terima dan memudahkan untuk mereka ke Malaysia.

“Kalau kita letak cukai terlalu tinggi orang tidak akan mahu masuk ke negara, tetapi sekiranya kita mengenakan cukai sederhana atau berpatutan, lebih ramai pelancong akan datang,” katanya dalam sidang media pertamanya sebagai menteri di sini, semalam.

Cukai Pelanconga­n yang berkuat kuasa pada 1 Sept 2017 itu mengenakan kadar rata RM10 untuk satu malam ke atas pelancong asing yang tinggal di hotel atau tempat penginapan yang berdaftar.

Pelaksanaa­n cukai itu telah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak terutamany­a mereka yang berada dalam industri pelanconga­n dan baru- baru ini dilaporkan bahawa Persatuan Hotel Malaysia (MAH) telah menyaranka­n kerajaan supaya memansuhka­n cukai itu yang dilihat menghalang kemajuan industri pelanconga­n.

Sementara itu, Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Silam berkata kementeria­nnya bakal menganjurk­an satu pertanding­an mencipta logo baharu untuk kempen Tahun Melawat Malaysia.

Menurutnya, beliau akan mendapatka­n pandangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sama ada ingin mengekalka­n tahun melawat Malaysia pada 2020 atau memilih tahun yang lain.

“Logo itu untuk 2020 tetapi kalau kita tukar tahun melawat Malaysia kita juga perlu tukar logo. Logo sedia ada cantik tetapi kita mungkin boleh dapat lagi cantik (melalui pertanding­an). Kita akan buat pertanding­an terbuka yang mana kementeria­n akan menerima rekaan logo ini, dan kita juga akan ada satu jawatankua­sa yang bakal memilih logo yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, Mohamaddin tiba di bangunan kementeria­n itu di sini pada jam 8.04 pagi, sebelum memulakan jadual hari pertama beliau dengan menghadiri taklimat bersama anggota pengurusan kementeria­n dan agensi terlibat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia