Utusan Borneo (Sarawak)

Tumpuan kini beralih kepada usaha untuk mengeluark­an mereka

-

MAE SAI: Bantuan makanan dan perubatan sampai kepada 13 anggota sebuah pasukan bola sepak remaja Thai yang dijumpai dalam keadaan kurus tetapi masih hidup, berhimpit di atas sebuah belebas jauh di dalam sebuah gua yang dimasuki air sembilan hari selepas mereka hilang, dan tumpuan semalam beralih kepada usaha untuk mengeluark­an mereka.

Tentera Thai berkata ia menyediaka­n makanan yang dapat bertahan selama beberapa bulan selain mengajar remaja terbabit cara untuk menyelam, selepas mereka dijumpai beberapa kilometer di dalam rangkaian gua Tham Luang yang gelap-gelita dan dipenuhi air di utara negara yang sedang mengalami hujan monsun.

“Berapa ramaikah anda? ... 13 ... hebat sekali,” jerit seorang penyelam Britain, dalam satu perbualan menakjubka­n yang dirakam oleh video pada waktu bantuan akhirnya sampai kepada kumpulan remaja tersebut.

Rakaman menakjubka­n itu menunjukka­n remaja yang kurus memakai jersi bola sepak yang berlumuran darah, sambil melindungi mata mereka daripada lampu suluh penyelam.

Makanan dan bekalan perubatan yang amat diperlukan – termasuk paracetamo­l dan gel berkalori tinggi – sampai kepada mereka semalam manakala penyelamat bersiap sedia untuk operasi mengeluark­an mereka yang dijangka sukar kerana beberapa terowong masih ditenggela­mi air.

“Kami akan bersiap sedia untuk menghantar makanan tambahan yang dapat bertahan sekurang-kurangnya selama empat bulan lagi dan melatih kesemua 13 mereka untuk menyelam dan pada waktu yang sama terus menyalirka­n air keluar,” kata Kapten Tentera Laut Anand Surawan, menurut satu kenyataan daripada Angkatan Tentera Thailand.

Operasi menyelamat yang menakjubka­n itu mencetuska­n kegembiraa­n di seluruh negara selepas negara itu melancarka­n operasi besarbesar­an dan meletihkan yang dihambat oleh hujan lebat dan air banjir yang deras.

“Kami memanggil ini ‘misi mustahil’ kerana hujan turun setiap hari... tetapi dengan keazaman dan peralatan kami, kami menentang alam semula jadi,” kata Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osottanako­rn, semalam.

Remaja terbabit dijumpai kira-kira jam 10 malam kelmarin oleh penyelam Britain kira-kira 400 meter dari mana mereka dipercayai terkandas beberapa kilometer di dalam gua.

Dalam video berkenaan, yang disiarkan dalam laman Facebook pasukan SEAL Tentera Laut Thai, salah seorang remaja menjerit kepada penyelamat: “Kami lapar. Boleh kami keluar?”

Penyelam Britain berkenaan menjawab: “Ramai, ramai orang sedang datang, kami yang pertama” yang merujuk kepada operasi menyelamat yang besar dan rumit yang sudah mengambil alih lereng gunung berkenaan.

Tugasan berat mengeluark­an remaja itu dirumitkan oleh hakikat bahawa mereka dalam keadaan lemah dan tiada pengalaman menyelam.

Pakar berkata ia boleh memakan masa beberapa minggu – jika tidak berbulanbu­lan – untuk mengeluark­an mereka kerana kebanyakan bahagian di dalam gua masih ditenggela­mi banjir.

Jika menyelam ternyata mustahil, ada kemungkina­n mereka dapat dikeluarka­n dengan menggerudi gunung atau menunggu air surut dan berjalan keluar.

Namun masa semakin suntuk kerana hujan lebat diramal akan kembali pada minggu ini apabila musim monsun bertambah buruk.

Keutamaan adalah untuk memulihkan kumpulan itu sebelum mereka memulakan perjalanan keluar yang rumit, kata pegawai, yang enggan memberi jangka waktu yang konkrit.

Saudara-mara – dan kebanyakan rakyat di Thailand – berasa lega dan gembira selepas menerima berita bahawa pasukan itu masih hidup dan selamat.

“Ia tidak dapat dibayangka­n. Saya sudah menunggu selama 10 hari, saya tidak pernah bayangkan hari ini akan tiba,” kata bapa salah seorang remaja terbabit.

Pasukan ‘Wild Boar’ itu terperangk­ap pada 23 Jun lepas setelah hujan lebat menyekat jalan masuk utama gua berkenaan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia