Utusan Borneo (Sarawak)

SELARI KEPERLUAN SEMASA

Kerajaan titik berat dasar perumahan agar mesra pemain industri dan memudahkan rakyat miliki rumah: KM

- Oleh Rusnan Mustafa

KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa menitikber­atkan dasar perumahan bagi mewujudkan persekitar­an yang baik untuk pemain industri perumahan dan rakyat Sarawak memiliki rumah.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, untuk itu kerajaan Sarawak sentiasa memantau pasaran dan dasar perumahan secara menyeluruh agar ia selari keperluan semasa.

Malah, beliau menegaskan, ini penting bagi memastikan hartanah yang tergantung atau tidak terjual dapat dikurangka­n dari semasa ke semasa.

“Kerajaan akan melihat perkara ini menerusi Kementeria­n Kerajaan Tempatan dan Perumahan (di bawah Datuk Dr Sim Kui Hian) dan Unit Perancanga­n Negeri (SPA) dalam menyediaka­n dasar baharu yang dapat merangkumi kategori pembeli perumahan tertentu sekali gus mampu memperluas­kan pasaran pembanguna­n perumahan di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Ekspo Hartanah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (SHEDA) 2018 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Abang Johari menjelaska­n, antara inisiatif yang diambil kerajaan Sarawak dalam menyediaka­n perumahan mampu milik ialah memperkena­lkan Skim Perumahan Khas Rakyat (SPEKTRA) bernilai RM300,00 dan ke bawah.

Pada masa sama, beliau memberitah­u, bekalan rumah dan hartanah di Sarawak haruslah seimbang dengan permintaan supaya pemaju tidak menghadapi masalah hartanah tidak terjual.

Menurutnya lagi, jika jumlah hartanah yang tidak terjual di negeri ini tidak dapat dikurangka­n, ia akan memberi kesan yang tidak baik untuk ekonomi.

“Malah, sekarang terdapat hartanah yang tidak terjual di Miri dan Bintulu, berdasarka­n keadaan ini kita perlu menyesuaik­an dasar dari semasa ke semasa.

“Tetapi terdapat kawasan tertentu di mana permintaan masih baik khususnya sekitar Samarahan, Batu Kawa dan Matang,” tambahnya.

Selain itu, Abang Johari berkata, pada masa ini pasaran hartanah di Sarawak tidak teruk kerana kerajaan negeri bertolak ansur dengan pasaran.

Jelasnya, permintaan rumah kos rendah sedang meningkat dan persoalan sekarang adalah mengenai bekalan.

Beliau memberitah­u, untuk memenuhi permintaan, kerajaan Sarawak perlu merangka dasar bagi menyediaka­n ruang untuk unit tambahan rumah kos rendah di Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu.

“Ini adalah fenomena penting di mana kita cuba mengimbang­i permintaan dan bekalan perumahan.

“Mempunyai pengalaman dalam perumahan, saya akan mencuba untuk menyediaka­n persekitar­an yang lebih kondusif supaya ekonomi kita bergerak ke arah yang betul,” ujarnya.

Hadir sama Dr Sim, Presiden SHEDA Dr Christophe­r Ngui Siew Ling, Pengerusi Penganjur Gary Kho Thong How dan tetamu kehormat lain.

 ??  ?? MENARIK: Abang Johari ditemani tetamu kehormat lain melihat pameran Ekspo Hartanah SHEDA 2018, semalam.
MENARIK: Abang Johari ditemani tetamu kehormat lain melihat pameran Ekspo Hartanah SHEDA 2018, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia