Utusan Borneo (Sarawak)

PBB Telang Usan harap Baru dapat realisasi harapan rakyat pedalaman

-

MIRI: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Telang Usan berharap Menteri Kerja Raya yang baharu, Baru Bian dapat merealisas­ikan harapan rakyat khususnya di pedalaman Baram dan Lawas untuk menikmati kemudahan jalan raya lebih baik.

Ketua Pemudanya Kaunselor Dominic Nyurang Ajeng berkata, mereka sudah tentu amat gembira dengan pelantikan itu memandangk­an beliau adalah komuniti Orang Ulu yang pertama dilantik sebagai menteri penuh dalam kabinet persekutua­n.

Dominic berkata, Baram misalnya memerlukan jalan raya berturap dilengkapi dengan kemudahan lampu jalan dan menghubung­i terus destinasi lain seperti Long Lama, Apoh Tutoh, Tinjar dan Bario.

“Permintaan menaik taraf jalan raya itu sudah lama diutarakan oleh rakyat di Baram semasa kerajaan sebelum ini iaitu Barisan Nasional (BN) namun tidak dilaksanak­an.

“Walaupun BN memberi peruntukan besar untuk pembanguna­n jalan raya tersebut namun ia tidak cukup baik dan pantas untuk rakyat di Baram.

“Justeru, mungkin Baru dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat melaksanak­an projek jalan raya tersebut mendahului jadual atau dalam tempoh tertentu mengikut kehendak dan kepuasan rakyat Baram,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dominic berkata, Pemuda Telang Usan turut menyampaik­an permintaan rakyat Baram mahu jalan raya berturap menghubung­kan setiap rumah panjang dan kampung seluruh pelosok Baram seperti mereka kehendaki semasa kerajaan BN dan sekarang tanggungja­wab dipegang oleh PH.

Jalan balak yang ada sekarang meliputi jarak 225km dari Long Lama-Bario, Long Lama-Long Iman (97km) dan pembinaan jalan berturap dari Long Lama-Long Iman akan memanfaatk­an banyak kampung di kawasan Apoh antaranya Long Bemang, Long Wat, Long Atip dan Long Bedian.

“Kami juga mahu pembinaan jalan raya dari Long Lama ke Long Kesseh yang sebelum ini dihentikan kerana sekatan sejak beberapa tahun lalu diteruskan dan dibina secepat mungkin.

“Kerajaan BN tidak dapat melalui kawasan itu sebelum ini namun Baru mungkin dapat membuka sekatan itu dan melaksanak­an pembinaan jalan raya itu dengan lancar,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia