Program ‘Food Bank’ untuk selamatkan gelandangan
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menangkis dakwaan sesetengah pihak kononnya program ‘ Food Bank’ yang diperkenalkan baru-baru ini tidak memberi kesan jangka panjang kepada golongan gelandangan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon berkata dakwaan bahawa ia hanyalah program jangka pendek untuk memberi makan kepada golongan gelandangan tidak benar kerana tujuan program itu dari segi jangka panjang ialah untuk menyelamatkan mereka daripada terus-menerus hidup di jalanan.
“Program ini sebenarnya memberi impak positif kerana sejak ia dilancarkan pada 27 Jun lepas sehingga kini, kita berjaya menyelamatkan 19 orang daripada golongan tersebut.
“Pada minggu pertama, kami memberi makanan kepada 36 orang dan selamatkan 14 orang manakala minggu kedua, kami memberi makan kepada 21 orang dan selamatkan lima orang.
“Kita telah senaraikan dan mendapatkan butiran mereka sebelum ditempatkan di pusat jagaan Jabatan Kesihatan negeri di sini, manakala mereka yang sakit dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek pembangunan semula dan menaik taraf Rumah Seri Kenangan (RSK) di sini, semalam.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Mohamad Hapil, Jurutera Jabatan Kerja Raya ( JKR) Daerah Seremban Mohd Kamal Mohd Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri Temiang Ng Chin Tsai.
Tan berkata untuk jangka panjang, mereka yang diselamatkan ini akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan ( RSK) di sini yang kini sedang dalam pembinaan. RSK Seremban yang boleh menampung di antara 200 ke 300 orang itu dijangka siap pembinaannya pada Jun 2019.
Tan berkata kerajaan negeri mewujudkan Food Bank bagi membantu golongan gelandangan di negeri ini dengan memberikan bantuan makanan serta keperluan peribadi.
Katanya untuk peringkat awal, usaha itu yang mendapat kerjasama Hotel Royale Chulan, Klana Resort Seremban, NSK dan Royale Sungai Ujong Club diadakan di sekitar bandar ini pada setiap hari Rabu, sebelum diperluaskan ke daerah lain.
Mengulas lanjut, Tan berkata daripada soal siasat yang dijalankan mendapati kebanyakan golongan gelandangan ini yang merupakan warga emas menghadapi perselisihan faham dengan anggota keluarga sehingga mereka diusir dari rumah dan diabaikan.
“Golongan gelandangan ini memerlukan sokongan anggota keluarga dan mereka juga perlu diberi perhatian,” katanya. — Bernama