MATRADE galak lebih ramai ushawan terokai pasaran luar negara
KOTA BHARU: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mahu lebih ramai usahawan di Kelantan, Terengganu dan Pahang mendaftar sebagai anggota agensi itu memandangkan setakat ini hanya ada 478 usahawan berbuat demikian.
Pengarah Kanan Bahagian Transformasi dan Perdagangan Digital MATRADE, Amran Yem berkata, jumlah itu amat kecil iaitu hanya 2.2 peratus daripada keseluruhan 21,405 syarikat dalam senarai agensi itu sekarang ini.
“Kita dapati ramai usahawan masih merasa segan dan teragak-agak mendekati Matrade memandangkan ia memfokus kepada aktiviti promosi perdagangan di peringkat global,” katanya kepada pemberita di Seminar Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Global@KB di sini, kelmarin.
Seminar terbabit adalah kesinambungan daripada beberapa inisiatif MATRADE sebelum ini di Kelantan bagi mengetengahkan peluang dan strategi mengakses pasaran global serta kemudahan yang disediakan untuk syarikat Malaysia.
Amran berkata, sikap sedemikian tidak sepatutnya wujud kerana usahawan yang menjadi anggota MATRADE berpeluang mendapat bimbingan untuk menjadi pengeksport termasuk nasihat perdagangan, program pembangunan pengeksport, promosi eksport dan maklumat pasaran. — Bernama