Utusan Borneo (Sarawak)

Operasi kesan seorang lagi peserta PDIT 2018 yang hilang diperluask­an

-

PORT DICKSON: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang peserta Port Dickson Internatio­nal Triathlon ( PDIT) 2018 yang hilang selepas menyertai acara renang diperluask­an sehingga lima kilometer dari lokasi kejadian.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata misi pencarian mangsa kini meliputi sepanjang Batu 6 hingga ke Batu 4 pantai berkenaan yang disertai seramai 20 anggota.

“Empat bot dan jet ski ditempatka­n di lokasi untuk digunakan dalam misi SAR dan setakat ini kita belum menjumpai mangsa. Kita juga meminta bantuan daripada nelayan tempatan bagi misi mencari ini,” katanya kepada BERNAMA di sini, semalam.

Selain bomba, misi SAR itu turut disertai Pasukan Penyelamat­an di Air (PPDA), Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandara­n Port Dickson (MPPD).

Pada 11.55 pagi semalam seorang peserta triathlon dikenali sebagai Yuen Chi Yuen, 42, warganegar­a Hong Kong dilaporkan hilang selepas mangsa gagal melaporkan diri kepada urus setia selepas menyertai acara berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson DSP Mohd Faisal Mohd Noor dalam kenyataan di sini berkata pihaknya menerima laporan kehilangan Yuen atau lebih dikenali sebagai Jeffery daripada isteri mangsa, Chan Wai Yong, 37.

“Isteri mangsa yang ketika itu sedang bertugas sebagai pegawai teknikal PDIT dimaklumka­n oleh seorang lelaki bahawa suaminya tidak kelihatan di pantai selepas acara renang tamat. Beliau kemudian mencari mangsa di laluan perlumbaan, kawasan makan dan bilik hotel yang diinap mangsa namun tidak menjumpain­ya.

“Setelah puas mencari, isteri mangsa mengesyaki bahawa mangsa telah lemas. Beliau seterusnya datang ke Balai Bergerak di Admiral Cove membuat laporan polis,” katanya.

Mohd Faisal berkata ketika acara renang dilangsung­kan, keadaan laut ketika itu mengalami air pasang.

Justeru katanya, tindakan mencari mangsa telah dilancarka­n di lokasi kejadian mangsa dilaporkan hilang.

Selain Yuen, seorang lagi peserta PDIT 2018 Tharm Wei Wong, 39, yang berasal dari Pulau Pinang lemas semasa berenang di pantai Port Dickson ketika menyertai acara renang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia