Jenazah seorang daripada mangsa kemalangan selamat dikebumi
BUKIT MERTAJAM: Jenazah Noorakhirludin Alam Mohammad Noor seorang daripada mangsa yang maut dalam kemalangan enam kenderaan di Kilometer (KM) 44 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan dekat Persimpangan Rawang, Selangor kelmarin selamat dikebumikan awal pagi semalam.
Jenazah Noorakhirludin Alam,49, tiba di rumah keluarganya di Sama Gagah, di sini sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Sama Gagah kira-kira jam 2 pagi untuk dikebumikan. Anak sulungnya, Farah,17, berkata mereka sekeluarga reda dengan kejadian yang menimpa ayahnya dan berharap adiknya Ezzudin yang mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Sungai Buloh cepat sembuh. Katanya sejak ayahnya disahkan menghidap penyakit batu karang bulan lepas, arwah selalu berpesan kepadanya supaya menjaga ibu dan tiga adiknya dan beliau langsung tidak menyangka itu petanda Noorakhirludin Alam akan meninggalkan mereka sekeluarga.
“Kali terakhir saya bertemu dengan ayah pada Sabtu lepas ketika ingin pulang ke asrama Sekolah Menengah Sains Kepala Batas (SMSKB) yang terletak tidak jauh dari rumah kami di Bertam, Kepala Batas.
“Ayah tak hantar kerana ibu yang hantar ke asrama tapi dia beberapa kali pesan kepada saya nanti jaga mak dan adik- adik.. waktu itu saya sudah tidak sedap hati tapi memang akhir-akhir ini selalu cakap kalau ayah sudah tak dak, tolong jaga adik-adik dan mak elok-elok,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Dalam kemalangan jam 12 tengah hari itu, Noorakhirludin Alam memandu Toyota Vellfire dinaiki bersama isterinya Maskiah Mat Saad yang mengalami kecederaan ringan dan anak bongsu mereka Ezzudin yang cedera parah serta dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB).
Keluarga itu dalam perjalanan dari Bertam, Kepala Batas dekat sini untuk melawat dua anak mereka, Azzra,15, dan Faris 14, yang belajar di Sekolah Seri Puteri dan Pusat Permata Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.
Farah berkata sejam sebelum kemalangan itu beliau ada menghubungi ibunya untuk memaklumkan ingin keluar bersama rakan asrama bagi membeli barang di sebuah pasar raya tidak jauh dari sekolahnya.
“Tidak lama kemudian seorang guru saya menghubungi dan memaklumkan keluarga terlibat kemalangan tapi beliau tidak beritahu bagaimana keadaan mereka... cuma suruh saya bersabar.
“Saya memang tidak sedap hati dan semasa pakcik saya tiba untuk ambil saya, dia beritahu ayah meninggal dalam kemalangan dan saya terus menangis serta bertanya keadaan ibu dan adik bagaimana sebelum di- maklumkan mereka selamat namun adik cedera parah,” katanya.
Katanya beliau tidak pergi ke HSB untuk menuntut jenazah ayahnya dan menunggu di rumah ibu saudaranya di Sama Gagah serta sempat menghubungi ibu yang menyuruhnya bersabar serta kuat demi adik-adik yang lain. Kemalangan itu berlaku apabila pemandu treler yang dalam perjalanan menuju arah utara melanggar belakang sebuah kenderaan. Perlanggaran tersebut menyebabkan treler berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dan masuk ke laluan lebuh raya arah selatan serta melanggar empat kenderaan lain.
Selain Noorakhirludin Alam, turut meninggal dunia di tempat kejadian ialah pemandu Perodua Alza, Mohammad Hafiz Shahrul Jefri Din serta penumpang Nurbaya Mohd Zaki dan Nur Fitrah Rosman, ketigatiga mereka berusia 24 tahun.—