30 peserta hadiri ceramah keselamatan kebakaran
SRI AMAN: Seramai 30 peserta daripada pelbagai seksyen Pejabat Tanah dan Survei Sri Aman menyertai program ceramah keselamatan kebakaran anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman di Bilik Mesyuarat Pejabat Tanah dan Survei Sri Aman dekat sini pagi semalam.
Ceramah berkenaan dikendalikan Pegawai Bomba Kanan II Jilin Itar yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Penubuhan Emergency Responce Team ( ERT)’, ‘Tatacara Penggunaan Alat Pemadam Api’, ‘Prosedur Pengungsian Bangunan’ dan ‘ Demonstrasi Penggunaan Alat Pemadam Api’.
Turut membantu beliau menjayakan ceramah berkenaan ialah Pegawai Bomba Freddy John dan Elijah Tiyit serta Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Alvin Klungop.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman Doris Synia ketika menyampaikan ucapan alu-aluan melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman kerana dapat hadir meluangkan masa memberi ceramah keselamatan kebakaran yang merupakan sesi mendapatkan ilmu di samping merupakan tuntutan kepada setiap agensi kerajaan untuk memastikan setiap pegawai mempunyai ilmu pengetahuan dalam pencegahan kebakaran.
Semasa menyampaikan ceramah, Jilin menekankan penubuhan ERT di setiap jabatan atau agensi kerajaan kerana ERT berupaya membantu sebagai ‘first responder’ memadam dan mencegah kebakaran merebak sebelum ketibaan pasukan bomba profesional.
Dalam pada itu, demonstrasi memadam kebakaran api minyak menggunakan alat pemadam api mudah alih turut didedahkan kepada kakitangan Pejabat Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman.