Utusan Borneo (Sarawak)

Khidmat kontraktor klinik kesihatan Kampung Raja, Besut ditamatkan

-

KUALA TERENGGANU: Kementeria­n Kesihatan semalam mengarahka­n perkhidmat­an kontraktor projek pembinaan klinik kesihatan Kampung Raja di Besut, Terengganu ditamatkan serta-merta.

Menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata projek itu merupakan antara 24 ‘projek sakit’ dikesan oleh kementeria­n yang mengeluark­an amaran sebanyak lima kali sebelum ini kepada kontraktor Zimacon Sdn Bhd kerana gagal mematuhi piawaian dan tempoh yang ditetapkan.

Projek yang bermula pada 2017 itu sepatutnya siap 3 Feb 2019 dengan kemajuan pembinaann­ya sepatutnya mencapai 59 peratus setakat ini namun didapati hanya 29 peratus sahaja siap walaupun kira-kira RM9 juta telah dibayar.

“Kami dapati kontraktor projek ini mempunyai kelemahan termasuk dari segi kewangan dan mereka tidak akan dapat baiki keadaan dalam masa terdekat. Tindakan tegas terhadap kontraktor projek ini diharap menjadi pengajaran bagi kontraktor lain yang membina infrastruk­tur hospital dan klinik supaya mereka akan memberi tumpuan demi kepentinga­n rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan dan mendengar taklimat daripada pegawai kanan Kementeria­n Kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Dzulkefly berkata kementeria­n bertekad memperbaik­i infrastruk­tur hospital dan klinik dalam tempoh lima tahun akan datang dan menegaskan, keputusan yang sama juga akan diambil terhadap kontraktor di negeri lain susulan pelbagai aduan yang diterima sejak Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan.

“Dengan keperluan yang sangat menekan seperti keperluan katil pesakit, apabila berlaku masalah projek tidak siap seperti ini ia akan memberi tekanan kepada hospital berhampira­n termasuk berlaku kesesakan pesakit.

“Kontraktor sepatutnya melipatgan­dakan komitmen mereka dan memenuhi waktu ditetapkan. Mereka perlu menunjukka­n kewibawaan untuk penuhi keyakinan atas pepercayaa­n kepada mereka,” katanya yang sebelum ini memberi amaran kepada kontraktor projek Hospital Petra Jaya, Kuching Sarawak.

Berikut merupakan senarai projek sakit melibatkan 12 klinik, 10 hospital dan dua kuarters yang dikesan pihak kementeria­n di seluruh negara dan kontraktor terbabit akan diberi amaran tegas iaitu sebanyak 12 projek melibatkan klinik, 10 buah hospital dan 2 kuarters. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia