Utusan Borneo (Sarawak)

OKU cacat penglihata­n terima anugerah khas penderma darah kebangsaan 2018

-

KUALA TERENGGANU: “Saya tidak ada harta benda, apa yang ada hanyalah darah yang mengalir dalam tubuh badan saya. Biarlah darah ini menjadi sumber pahala dan kebaikan kepada pihak memerlukan,” kata Mohd Zamzuri Ariffin, 46.

Penerima anugerah penderma darah peringkat kebangsaan bagi kategori orang kelainan upaya 2018 itu berkata beliau mula menderma darah sejak 10 tahun lepas setelah mendengar kebaikan amalan itu.

Lelaki cacat penglihata­n itu berkata setiap tahun beliau akan menderma darah melalui kempen yang diadakan di Masjid Batu Buruk di sini pada bulan Ramadan.

“Setiap kali Ramadan, pasti ada kempen derma darah dilakukan di masjid-masjid...di situlah saya menderma darah buat kali pertama 10 tahun lalu dan saya berazam mahu menjadi penderma tetap iaitu menderma empat kali setahun bagi memastikan bekalan darah mencukupi,” katanya.

Mohd Zamzuri ditemui pemberita di majlis penghargaa­n dan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat kebangsaan yang disempurna­kan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad di sini Sabtu malam.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Pengarah Pusat Darah Negara Dr Noryati Abu Amin dan Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Mohammad Omar.

Mohd Zamzuri yang mempunyai darah jenis B berkata tidak pernah menyangka akan diraikan sebegitu meriah dalam majlis khas yang dihadiri menteri. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia