Utusan Borneo (Sarawak)

Pasukan AS dominasi hari pembukaan kejohanan Piala Dunia Olahraga

-

LONDON, England: Amerika Syarikat (AS) mempunyai kelebihan memberangs­angkan menjelang hari kedua dan terakhir kejohanan sulung Piala Dunia Olahraga di sini selepas mendahului kedudukan pada akhir sesi pembukaan Sabtu lepas.

Kejohanan, memaparkan lapan negara dalam satu format direka untuk menarik semula perhatian penonton ke acara trek dan padang, dijangka terjejas dengan ketiadaan beberapa atlet utama dengan pelari jarak sederhana Afrika Selatan, Caster Semenya antara mereka yang tidak menyertai kejohanan ini.

Bagaimanap­un, dengan sejumlah 30,000 penonton hadir di Stadium Olimpik walaupun tumpuan diberikan kepada temasya bola sepak Piala Dunia dan sukan tenis Wimbledon, maklum balas awal dari penganjur dan atlet mencadangk­an ia adalah satu format yang berpotensi untuk diteruskan.

Walaupun dengan ketiadaan ramai bintang, AS mengutip lapan mata maksima dari lima acara.

Jeron Robinson memenangi acara lompat tinggi lelaki apabila melepasi ketinggian 2.30 meter, Clyaton Murphy memenangi acara 800 meter lelaki dan Ashley Henderson menewaskan juara Olimpik, Elaine Thompson untuk memenangi acara 100 meter wanita dengan masa 11.07 saat, sebelum AS memenangi acara 4x400 meter wanita dan 4x100 meter lelaki lari berganti-ganti.

“Ia menarik untuk kembali dalam pertanding­an ber- pasukan kerana saya seperti rindukan acara seperti ini ketika di kolej,” kata Murphy. “Untuk mempunyai begitu banyak acara sukan berbeza yang berlaku ketika ini dan masih mendapat kehadiran penonton yang ramai adalah sangat hebat sekali.”

Usaha beliau membantu AS melonjak ke kedudukan teratas dengan 109 mata, diikuti Perancis (85), Poland dan Jamaica berkongsi 77 mata dengan tuan rumah Britain dan Ireland Utara dengan 74 mata.

Poland memulakan kejohanan dengan meyakinkan apabila mencipta tiga kemenangan awal apabila juara Olimpik dua kali, Anita Wlodarczyk memenangi acara tukul besi wanita dengan balingan paling jauh di dunia tahun ini – 78.74 meter, di hadapan Sophie Hitchon dari Britain.

“Ia adalah keputusan terbaik bagi saya tahun ini,” kata Wlodarczyk. “Saya mempunyai kenangan manis di Stadium Olimpik di sini pada 2012 (Sukan Olimpik), pada tahun lepas (Kejohanan Dunia) dan sekali menang di sini hari ini (Sabtu).”

Pasukan tuan rumah mencipta dua kemenangan dengan kapten Britain, Lorraine Ugen memenangi acara lompat jauh wanita 6.86 meter dan Holly Bradshaw memenangi acara lompat bergalah wanita.

Janieve Russell dari Jamaica, memenangi acara 400 meter lompat pagar sementara rakan senegarany­a, Ronald Levy menangani cabaran Pascal Martinot-Lagarde untuk memenangi acara 110 meter lompat pagar lelaki.

Aksi tumpuan pada hari Ahad ialah acara 100 meter lelaki di mana pelari AS, Kendal Williams, yang melakukan larian 9.99 saat musim ini, menjadi pilihan untuk menang sementara Luvo Manyonga dari Afrika Selatan, yang memenangi kejuaraan dunia di sini tahun lepas, mengetuai ranking acara lompat jauh lelaki.

Pasukan dengan mata terbanyak di akhir kejohanan akan memenangi hadiah wang 450,000 dolar. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia