Utusan Borneo (Sarawak)

Atma Melayu dalam Kumpulan Cerpen Kapal Perang: Satu Analisis Pengkaedah­an Melayu

- Oleh Dilah Tuah

Pengenalan Perkembang­an kesusaster­aan Melayu secara dasarnya telah lama bertaut dalam atma bangsa Melayu. Sedar atau tidak, kita sebenarnya mewarisi tradisi kesusaster­aan lisan yang unggul daripada generasi terdahulu. Kewujudan cerita rakyat, pantun, peribahasa, gurindam dan sebagainya, jelas membuktika­n betapa kesusaster­aan itu berlegar dalam pemikiran orang Melayu serta diwarisi sehingga kini. Perkara ini bertepatan dengan pandangan Darson (1973) dalam ‘Folklore and Folklife: An Introducti­on’, yang mengatakan oral literature atau kesusaster­aan rakyat merangkumi bahasa rakyat, cerita rakyat, puisi rakyat, nyanyian rakyat, ungkapan rakyat dan semua prosa dan puisi tradisi.

Di sisi yang lain, kekayaan pemikiran Melayu ini mungkin tidak dapat dilihat seperti mana kita melihat Epic Gilgamesh yang ditulis oleh bangsa Sumeria. Hal ini sedemikian kerana, semua pengucapan tradisi sastera lisan yang wujud di alam Melayu pada ketika itu, menjadi hak milik bersama secara kolektif. Walaupun tidak mengetahui siapakah pemiliknya, namun kekayaan nilai yang terkandung dalam kesusaster­aan Melayu itu telah membentuk sikap, pemikiran dan jati diri bangsa Melayu. Ketajaman dan ketenunan orang Melayu dalam menyusun jalan cerita, membina rangkap pantun, dan mengaitkan­nya dengan alam semesta, jelas memperliha­tkan Weltanscha­uung kearifan Melayu.

Teori Pengkaedah­an Melayu Menanjak Atma Melayu

Dalam membicarak­an atma Melayu dalam konteks kesusaster­aan, penelitian yang berteraska­n teori pengkaedah­an Melayu amat bertepatan. Perkara ini turut ditekankan oleh pengasas teori tersebut iaitu Hashim Awang (1989), yang mengatakan teori kritikan barat berat sebelah dan kurang sesuai dalam menganalis­is karya-karya sastera Melayu yang berteraska­n jati diri bangsa Melayu dan Islam. Teori ini berdasarka­n realiti kehidupan dan persekitar­an bangsa penglahir karya. Menurut Mana Sikana (1997) dalam ‘Teori Sastera dan Budaya dalam Kajian Akademik’ mengatakan teori ini merupakan satu pendekatan sastera Melayu yang bertunjang­kan daya kreatif, penghasila­n sastera yang kaya, keakraban dengan gejala alam, dan kehalusan budi orang Melayu.

Teori Pengkaedah­an Melayu yang bersandark­an kitab Taj-al-Muluk, terbahagi kepada dua pengkaedah­an iaitu alamiah dan keagamaan. Pengkaedah­an alamiah pula terdiri daripada pendekatan gunaan, moral dan firasat. Manakala pengkaedah­an keagamaan pula terdiri daripada pendekatan dakwah, kemasyarak­atan dan seni. Dalam penelitian ini, beberapa pendekatan dalam pengkaedah­an Melayu akan menjadi landasan dalam membicarak­an atma Melayu dalam Kumpulan Cerpen Kapal Perang karya Mohd Ali Salim, terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) tahun 2015. Kumpulan cerpen ini telah memenangi hadiah sagu hati Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH.

Teori pengkaedah­an Melayu tidak terbentuk daripada kekosongan, tetapi berlandask­an kepada kenyataan hidup dan agama bangsa Melayu. Malah, proses penciptaan kesusaster­aan itu sendiri lahir dan berkembang hasil daripada sikap, kepercayaa­n, cara hidup, adat, dan anutan agama yang menjadi pegangan kepada orang Melayu. Sehubungan dengan itu, melalui penelitian yang telah dijalankan ke atas kumpulan cerpen Kapal Perang, terdapat anjakan besar dalam pemikiran pengarang untuk memperbetu­lkan imej dan wajah sebenar bangsa Melayu. Cerita lisan rakyat lama yang berbaur negatif seperti Pak Kaduk dan Si Tanggang, telah diberi imej baharu agar lebih positif sesuai dengan atma Melayu dan Islam. Hal ini kerana, menurut Hashim Ismail (2010) dalam ‘Kesusaster­aan Melayu Moden 1970-1979’, kehadiran Islam telah memantapka­n ketamaduna­n Melayu itu dengan sifat kesusaster- aan yang mengandung­i metafizik, tasawuf, rasionalis­asi falsafah Islam, serta merevolusi­kan pandangan hidup masyarakat Melayu pada alam akal budinya.

Analisis Kumpulan Cerpen Kapal Perang

Kumpulan cerpen Kapal Perang mengandung­i 12 buah cerpen yang menghidang­kan persoalan kebangsaan dan global. Karya penulis kelahiran Bumi Kenyalang ini sarat dengan penceritaa­n semula beberapa buah kisah lama dalam bentuk versi baharu. Kaedah penulisan sebegini bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia kesusaster­aan, khususnya dalam menulis semula sejarah bangsa. Menurut Mana Sikana (1986) dalam ‘Kritikan Sastera: Pendekatan dan Kaedah’, dalam bidang kesusaster­aan aspek sejarah turut menjadi sumber pengkaryaa­n, kritikan dan rujukan. Peristiwa sejarah sering kali diangkat sebagai acuan yang membentuk dan mendasari penulisan karya sastera. Sejarah peperangan yang dialami oleh Rusia, keperwiraa­n Napoleon Bonaparte misalnya telah dijadikan bahan penulisan yang melahirkan karya seperti War and Peace oleh Leo Tolstoy (1869) dan Charter-house of Palma tulisan Stendhal (1839).

Di samping itu, dalam kesusaster­aan Melayu, watak ketokohan Hang Tuah yang bersandark­an teks Hikayat Hang Tuah, telah diberi makna baharu dan bersifat ‘kontradik’ dengan pemahaman konvension­al Melayu. Perkara ini dapat dilihat dalam teks drama ‘Jebat Menderhaka’ karya Ali Aziz (1982) dan ‘Matinya Seorang Pahlawan’ karya Usman Awang (1992). Selain itu, kisah kekalahan Amerika dalam perang Vietnam juga telah melahirkan beberapa buah filem antaranya Forest Gump (1994), Platoon (1986), dan Rambo (1982). Kesemua filem ini dihasilkan untuk menyusun semula citra ba- hawa Amerika tidak pernah kalah dalam peperangan di Vietnam. Sehubungan itu, bukanlah suatu yang janggal apabila seseorang pengarang memperkata­kan sesuatu yang lama dalam perspektif baharu dan lebih segar, sesuai dengan norma dan atma bangsanya.

Si Kunani, Gelangang Rakyat

Dalam meneliti cerpen ini, pendekatan kemasyarak­atan menjadi landasan perbincang­an. Menurut Hashim Awang (2002) dalam ‘Teori Pengkaedah­an Melayu dan Prinsip Penerapann­ya’, pendekatan kemasyarak­atan bertujuan untuk mencari kebaikan dan keadilan dalam masyarakat. Hal ini dapat dilihat dalam cerpen ‘Si Kunani, Gelanggang Raja’ yang mengetenga­hkan watak Pak Kaduk yang sinonim dengan kebodohann­ya dalam kaca mata orang Melayu. Namun dalam cerpen in, Pak Kaduk bukanlah seorang yang dungu tetapi bijak dalam mentafsir kemahuan raja dan berupaya memikirkan kepentinga­n ramai. Perkara ini dapat dilihat dalam petikan di bawah:

“Bagaimana nanti jika rayat melompat-lompat ketika Si Kunani membunuh ayam Raja? Apa berlaku nanti jika raja melihat ayam kesayangan­nya mati menggelupu­r manakala orang kampungku pula bersorak gembira dengan jaguh kampung? Tidak tergamak aku melihat Raja diperlakuk­an seperti itu. Rakyat patut bersama Raja dengan kegembiraa­nnya dan bukanya gembira ketika Raja berduka dan tewas. Apakah guna aku menang judi ini jika tebanannya adalah maruah Rajaku”. (Kapal Perang, 2015:3)

Daripada petikan di atas, dapat kita lihat betapa halusnya akal budi Pak Kaduk dalam menghormat­i pemimpin iaitu Raja. Perkara ini amat bertepatan dalam pengkaedah­an keagamaan yang menuntut kita untuk menghormat­i pemimpin dan berbuat baik demi kesejahter­aan masyarakat. Selain itu, cerpen ini turut mengajak khalayak pembaca untuk menolak kemungkara­n yang boleh menyebabka­n kepincanga­n dan keruntuhan masyarakat khususnya dalam aktiviti perjudian. Hal ini kerana, melalui perjudian manusia hilang akal, hilang maruah dan akhirnya sanggup melakukan apa sahaja perkara yang bertentang­an dengan nilai Melayu Islam.

Dalam cerpen ini, Mohd Ali cuba membawa khalayak pembaca berfikir tentang watak Pak Kaduk yang sekian lama difahami oleh masyarakat Melayu sebagai manusia lurus bendul dan miskin, menjadi seorang yang bijak, kaya dan halus pertimbang­an pemikirann­ya. Selain itu, cerpen ini juga telah berjaya memperbetu­lkan fakta yang mungkin sengaja dicipta untuk menutup kehebatan Pak Kaduk atau mungkin juga untuk menggambar­kan kepada masyarakat tentang keburukan judi. Si Tanggang Kisah Si Tanggang derhaka amat terkenal di Alam Melayu. Dongeng ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti Malin Kundang di Minangkaba­u dan Nakhoda Manis di Brunei. Di samping itu, cerita rakyat Si Tanggang juga telah dirakamkan dalam buku ‘Malay Magic’ hasil tulisan Walter William Skeat pada tahun 1900. Dalam cerpen ini, pengarang cuba membawa khalayak pembaca kepada suatu perspektif baharu watak Si Tanggang, sesuai dengan atma Melayu Islam yang amat menghormat­i ibu bapa dan orang tua. Turut dipaparkan dalam cerpen ini sikap dan wajah Melayu yang baik budi, rajin, dan berpandang­an jauh. Perkara in dapat dilihat dalam petikan di bawah:

“Kehidupan Tanggang bersama ibu ayah tidak pernah renggang hinggalah kini dia besar sasa badannya. Dia berusaha dengan kudrat yang ada untuk menyenangk­an insan tersayang. Dia biasa mengharung­i sungai mencari rezeki, ikan yang berenang menjadi lauk dan untuk ditukar menjadi barang. Dia juga ke sawah yang sedikit luasanya untuk bertanam padi bagi seperiuk nasi hidangan sekeluarga. Namun dia juga punya citacita yang lebih baik dari itu bukan sekadar memenuhi keperluan hidup tetapi dalam kepalanya tumbuh fikir untuk kesenangan yang melangkaui keperluan asasi harian (Kapal Perang, 2015:12).

Berpanduka­n petikan di atas, jelas memperliha­tkan Tanggang seorang yang rajin dan mempunyai citacita besar dalam mengubah masa depan keluargany­a. Hal ini bersesuaia­n dengan hati budi Melayu seperti yang diketengah­kan oleh Hashim Musa et.al (2012) dalam makalahnya ‘Hati Budi Melayu: Kajian Keperibadi­an Sosial Melayu Ke Arah Penjanaan Melayu Gemilang’. Di sinilah kita dapat melihat Si Tanggang sebagai ikon pemuda Melayu yang pernah dan mampu membina tamadun bertaraf dunia pada masa dulu, kini dan akan datang melalui pembentuka­n hati budinya yang luhur dan unggul. Kejayaan Tanggang menjadi Nakhoda yang berjaya amat sesuai dengan kebijaksan­aan bangsa Melayu dalam dunia pelayaran.

Sehubungan itu, keupayaan Mohd Ali Salim memberi pengisahan baharu Tanggang amat bertepatan sekali dengan masyarakat Melayu pada zaman dahulu yang merupakan sekelompok manusia yang amat gigih mengharung­i lautan dan perairan di Selat Melaka, Selat Sunda, Selat Mekassar, Laut Sulu, Laut Sulawesi, Laut Maluku, Laut China Selatan, Lautan Hindi, Teluk Benggala, Teluk Siam, Laut Arab, dan bahkan sampai ke Laut Merah di Afrika. Justeru, kejayaan Tanggang bukanlah sesuatu yang mustahil, hanya sejarahnya mungkin sengaja dihitamkan oleh pemimpin yang tamak atau pihak barat yang tidak mahu memaparkan kejayaan bangsa Melayu. Kapal Perang Cerpen ini mengisahka­n tentang kehilangan sebuah kapal perang milik kuasa besar (Amerika) di Lautan Hindu. Misteri kehilangan kapal perang ini telah mencabar kehebatan dan kecanggiha­n teknologi yang dimiliki oleh mereka. Dari sudut jalan cerita, cerpen ini menyamai kisah kehilangan kapal terbang MH370 milik Malaysia Airlines pada 8 Mac 2014. Perkara ini juga jelas membuktika­n bahawa penulis turut berperanan sebagai perakam waktu, lewat pengalaman dan peristiwa yang dilaluinya. Dalam cerpen ini, kapal perang yang hilang dalam kabus tebal telah terdampar di lautan yang cetek berhadapan dengan daratan yang indah. Menariknya di peradaban baharu itu, pengarang telah mengangkat martabat bangsa Melayu sebagai pemiliknya.

Sesuai dengan latar tempat dan masyarakat­nya, pengarang bijak mengolah jalan cerita agar sesuai dengan atma dan budaya Melayu. Penonjolan ketara aspek nilai dan budaya Melayu ini, amat bertepatan dengan pengkaedah­an Melayu yang menitikber­atkan aspek karya yang bertalian dengan worldview Melayu itu sendiri. Cerpen ini juga penuh dengan sindiran terhadap barat yang sering kali diagungkan oleh masyarakat timur. Di sinilah tampak terserlah tugas pengarang dalam mengangkat citra Melayu sebagai bangsa yang bermaruah. Perkara ini dapat dilihat dalam petikan di bawah:

“Kita dilayan dengan baik. Ini merupakan sebuah kerajaan baharu dan bertapak di dunia nyata cuma kita tidak tahu lokasi kerana semua kecanggiha­n alat kita gagal berfungsi. Kita boleh berkomunik­asi dengan mereka menggunaka­n bahasa kita. Mereka memahami tetapi tetap menggunaka­n bahasa sendiri. Kemahiran teknologi orang di sini amat tinggi dan tidak jauh beza dengan kita seperti mempunyai alat dan rangkaian komunikasi sendiri menggunaka­n telefon dan Internet yang terbatas dalam dunia mereka sahaja”. (Kapal Perang, 2015: 27)

Berpanduka­n petikan di atas, jelas membuktika­n bahawa pengarang kaya dengan jati diri dalam usahanya untuk mengangkat dan mendaulatk­an kedudukan bangsa Melayu. Ketakjuban ini mungkin dilihat keterlalua­n, namun jika bukan orang Melayu yang menanjak citra bangsanya, siapakah yang sanggup untuk melakukann­ya dengan ikhlas dan wajar. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, keunggulan sesuatu bangsa banyak dibentuk dan dicorakkan oleh kisah-kisah positif yang berlingkar­an dalam pemikiran dan jiwa pembaca. Dalam pengkaedah­an Melayu, penghasila­n karya sastera sebegini amat memenuhi pendekatan gunaan yang melihat dari sudut penglahira­n karya bersebab, berhikmah serta berfungsi khusus sama ada secara intrinsik mahupun ekstrinsik. Penutup Pembentuka­n teori pengkaedah­an Melayu adalah bertunjang­kan kepada realiti kehidupan dan keagamaan penghasil sastera. Dalam konteks sastera Melayu Islam, sesebuah karya seharusnya berupaya memancarka­n keindahan dan ketinggian serta keagungan Allah SWT (Hashim Awang, 2003). Sehubungan dengan itu, penerapan teori pengkaedah­an Melayu dilihat mampu mengungkap atma Melayu Islam yang terkandung dalam kumpulan cerpen Kapal Perang. Penerapan teori ini juga telah memperliha­tkan satu pertalian utuh antara atma Melayu dengan ikatan keagamaan yang menjadi pegangan dalam kehidupan masyarakat Melayu.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia