Jawatankuasa mula siasatan pertama ke atas Kementerian Pertahanan
PUTRAJAYA: Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan memulakan siasatan pertamanya ke atas Kementerian Pertahanan semalam, kata Pengerusinya Tan Sri Ambrin Buang.
Beliau berkata jawatankuasa yang ditubuhkan atas persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei lalu itu memulakan tugas siasatan berkenaan atas permintaan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sendiri.
“Bidang kuasa kita luas, sungguhpun kita telah diminta untuk memulakan siasatan ke atas Kementerian Pertahanan, bukan bermakna kementerian lain tidak di bawah bidang kuasa ini.
“Kita akan berbincang kementerian mana yang lain yang patut kita siasat berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada kita,” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Dalam sidang media itu, Ambrin turut mengumumkan anggota jawatankuasa siasatan itu yang terdiri daripada bekas Presiden Institut Akauntan Malaysia Tan Sri Dr Abdul Samad Alias dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Dr Mohd Tap Salleh.
Turut menganggotai jawatankuasa itu, Ketua Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara Datin Paduka Ong Swee Leng dan Peguam Bela dan Peguam Cara Dr Zulqarnain Lukman serta wakil Kementerian Kewangan Rosli Yaakub yang akan mengetuai sekretariat bagi jawatankuasa itu.
Katanya siasatan jawatankuasa tersebut akan memberi fokus kepada kes-kes yang mencurigakan di manamana kementerian selain mengesyor langkah-langkah yang lebih baik bagi membasmi ketirisan wang negara.
Sebagai permulaan, katanya jawatankuasa itu akan memulakan penyiasatan ke atas beberapa projek di ba- wah kelolaan Kementerian Pertahanan.
Ambrin menegaskan penubuhan jawatankuasa itu tidak akan bertindih dengan tugas Jabatan Audit Negara kerana jabatan itu perlu membentangkan laporannya di Parlimen manakala hasil siasatan jawatankuasa itu hanya akan dibentangkan kepada jemaah menteri untuk tindakan lanjut.
“Penubuhan jawatankuasa ini dianggap sebagai audit khas yang berbeza dengan audit yang dilakukan oleh Jabatan Audit Negara,” katanya.
Beliau berkata jawatankuasa itu akan menyediakan laporan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kabinet namun tiada tempoh masa yang diberikan kerana ia bergantung kepada proses siasatan.
Ambrin berkata jawatankuasa itu juga akan memanggil mana- mana bekas menteri atau timbalan menteri untuk membantu siasatan jika ada keperluan. — Bernama