Penyokong Perancis berpesta sepanjang malam di Champs Elysees
PARIS, Perancis: Ratusan ribu penyokong Perancis berpesta sepanjang malam di Champs Elysees Ahad lepas untuk meraikan kemenangan pasukan bola sepak mereka di Piala Dunia, meraikan bola sepak dan kuasa sukan yang menyatukan negara yang berpecah dan kadang-kadang ketakutan itu.
Seluruh Perancis bergembira Ahad lepas setelah skuad ‘ Les Bleus’ menewaskan Croatia 4-2 pada final Piala Dunia di Moscow, dengan penyokong membanjiri jalanjalan, membunyikan hon kereta, menarik dan mengibarkan bendera negara mereka.
Sorakan kedengaran seluruh negara dari setiap gol yang dijaringkan di final, yang telah mengubah skuad muda menjadi ikon negara 20 tahun selepas negara mereka memenangi Piala Dunia yang pertama mereka.
Walaupun sebelum wisel penamat di Moscow, ratusan ribu orang sudah membanjiri Champs Elysees di tengah Paris seperti mirip kejayaan pada 1998 apabila lebih dari satu juta orang berpesta sehingga awal pagi.
“1998 adalah luar biasa! Malam ini anak lelaki saya mempunyai peluang meraikan kegembiraan yang sama,” kata Eric Rodenas, 42, ketika memberitahu AFP bersama anaknya, Raphael, yang datang dari pantai selatan Perancis.
Ketika malam menjelang, tarian dan nyanyian penonton berterusan dengan pintu gerbang Arc de Triomphe dinyalakan dengan warna bendera Perancis – biru, putih dan merah.
Namun peningkatan dalam satu kemalangan jalan raya dan juga kes terpencil pergaduhan dengan polis dan juga kegiatan menjarah premis perniagaan sekitar Champs Elysees, mencemari kegembiraan sambutan kejayaan yang dihadiri oleh pelbagai latar belakang etnik dan agama.
Keraian dijangka akan diteruskan keesokan harinya apabila skuad Perancis akan diarak menaiki bas terbuka yang akan melalui jalan-kala paling terkenal sekitar jam 5 petang waktu tempatan, diikuti dengan kunjungan ke Istana Elysee untuk bertemu dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
“Merci” tweet Macron selepas perlawanan yang menyaksikan beliau meraikan kemenangan dari tempat duduk VIP dan juga kemudian mengunjungi bilik persalinan pemain.
Pemain tengah Perancis, Steven N’Zonzi berkata Macron “menemui ungkapan yang tepat... beliau memberitahu kami kejayaan ini sangat besar kepada negara, untuk semua golongan muda.”
Akhbar Perancis, Journal du Dimanche, mengeluarkan edisi khas di Paris dengan memuji sebuah pasukan yang menuju “ke bintang”.
Ketika meraikan kegembiraan itu, ada penyokong juga bercakap tentang penyatuan negara selepas satu tempoh sukar untuk negara.
“Kami adalah sebuah negara dalam banyak tekanan. Ekonomi, sosial, terlalu banyak tekanan,” kata Thomas Bazzi.
“Kami memerlukan kegembiraan seperti ini,” kata beliau.
Walaupun negara itu dicemburui dan mempunyai gaya hidup romantik, penduduknya sering didapati bersikap paling pesimistik di dunia.
Kebanyakannya adalah kerana berdekad-dekad paras penggangguran tinggi, peningkatan hutang dan ancaman keganasan yang telah menyebabkan beberapa siri serangan pada 2015 di mana hampir 250 orang mati.
Tetapi kejayaan Perancis di Rusia juga telah membawa kepada satu penyatuan baharu dalam sebuah negara yang bertahun-tahun diselubungi perdebatan tentang pendatang dan identiti sebenar Perancis.
Kehadiran begitu ramai penyokong memberikan masalah kepada anggota polis. Kira-kira 110,000 pasukan keselamatan dikerahkan untuk mengawal keadaan dengan beberapa insiden kecil pergaduhan dan kemalangan jalan raya berlaku.
Beberapa kedai dipecah masuk dengan puluhan orang bertopeng menjarah barangan dan seorang lelaki cedera semasa satu pergaduhan.
Di Marseille, dua anggota keselamatan cedera dalam satu pertempuran dengan penyokong dan di Frouard, sebuah bandar di luar Nancy, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun cedera serius selepas dilanggar sebuah motosikal ketika meraikan kejayaan pasukan. — AFP