JPN Sarawak diberi kuasa beli terus diesel untuk sekolah: Manyin
KUCHING: Isu sekolah bergelap di negeri ini khasnya di luar bandar kerana terputus bekalan diesel akan selesai selepas Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak diberi kuasa untuk membeli terus bahan api itu menerusi kontraktor dilantik.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, menerusi kontraktor dilantik, JPN Sarawak boleh membeli diesel maksimum RM20,000 sebulan pada siling RM200,000 untuk tempoh 10 bulan bagi setiap sekolah.
Beliau berkata, isu berkenaan hampir selesai kerana sehingga semalam hampir kesemua sekolah yang bergantung kepada penjana kuasa untuk mendapatkan tenaga elektrik mendapat bekalan diesel masing-masing.
“Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah menerima surat daripada Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 20 Jun 2018, yang memberi arahan kepada Pengarah Pendidikan Negeri memberi kuasa kepada Pegawai Pendidikan Daerah melantik satu pembekal untuk satu sekolah.
“Setiappembekalbolehmembekalkan sehingga RM20,000 diesel sebulan pada harga siling RM200,000 untuk tempoh 10 bulan bagi setiap sekolah,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Justeru beliau berharap dalam tempoh 10 bulan akan datang, tidak ada sekolah di Sarawak bergelap kerana kehabisan bekalan diesel untuk menghidupkan penjana kuasa.
Beliau menambah, sehingga kini terdapat 371 sekolah di seluruh Sarawak masih tidak dibekalkan bekalan elektrik dan bergantung sepenuhnya kepada penjana kuasa.
Sebelum ini katanya, hanya 369 sekolah yang kebanyakannya di luar bandar disenaraikan dalam kategori itu namun kini jumlah itu bertambah kepada 371 selepas Sekolah Kebangsaan (SK) Tegulang dan SK Metalun tidak lagi mendapat bekalan elektrik.
Terdahulu ketika membentangkan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Manyin berkata pada 2017, kementeriannya telah mengemukakan kertas cadangan untuk 113 sekolah yang terletak 10km dalam grid elektrik, disambungkan kepada grid dengan anggaran kos RM50 juta.
“Kementerian saya akan memanjangkan perkara ini kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan sekolah-sekolah ini dibekalkan dengan elektrik 24 jam.
“Dengan bekalan elektrik 24 jam ini, guru dan pelajar dapat belajar dalam suasana lebih selesa serta kondusif,” katanya.
Manyin menambah, baki 258 sekolah lagi yang terletak jauh dari grid elektrik, lebih daripada 20km, kemungkinan penggunaan sistem hibrid solar dipertimbangkan.
Beliau memberitahu, bagi tempoh 2012 hingga 2014, RM539.4 juta kos kontrak diberikan kepada 22 pembekal manakala bagi tempoh 2015 hingga 2016, RM525.4 juta kepada 30 pembekal.
Manakala bagi tempoh 2017 hingga 2019, jumlah kos kontrak RM1.325 bilion (termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan-GST enam peratus).
Kontrak itu katanya, untuk mereka bentuk dan membina sistem hibrid solar, membekalkan diesel dan menyelenggara penjana kuasa untuk 369 sekolah yang telah diberikan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada satu kontraktor, Jepak Holding Sdn Bhd.
“Pecahan kontrak ini ialah pendahuluan & keadaan am (RM25,459,757), sistem panel solar (RM 754,838,127), reka bentuk dan binaan & penyeliaan (RM10,569,340.80)danoperasi & penyelenggaraan set penjana kuasa (RM459,132,775.20),” jelasnya.