Utusan Borneo (Sarawak)

Dr Sim nafi beri fakta, angka mengeliruk­an mengenai status Hospital Petra Jaya

-

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Wong King Wei bahawa beliau telah memberi fakta dan angka yang mengeliruk­an Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai status pelaksanaa­n projek Hospital Petra Jaya.

Menurut beliau, setakat 23 April 2017, kemajuan sebenar yang dilaporkan ke atas Hospital Petra Jaya adalah 46.77 peratus berbanding kemajuan 99.79 peratus seperti yang dijadualka­n.

Manakala setakat 22 Oktober 2017, kemajuan sebenar yang dilaporkan adalah 27.68 peratus berbanding kemajuan 100 peratus seperti yang dijadualka­n.

“Melihat kepada fakta ini, terdapat penguranga­n dalam kemajuan sebenar daripada 46.77 peratus kepada 27.68 peratus iaitu -19.09 peratus.

“Perbezaan dalam angka ini disebabkan perubahan dalam metodologi menilai kemajuan kerja berbanding kemajuan kewangan seperti yang dijelaskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia iaitu agensi pelaksana projek,” katanya pada sidang media di DUN, semalam.

Selain itu, Dr Sim turut menegaskan bahawa projek Hospital Petra Jaya bukan di bawah kementeria­nnya, tetapi dilaksanak­an oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

“Jabatan Kesihatan Sarawak merupakan salah satu jabatan persekutua­n di bawah jagaan kementeria­n saya.

“Semua maklumat mengenai kemajuan projek ini disediakan oleh JKR Malaysia kepada kementeria­n saya menerusi Jabatan Kesihatan Sarawak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia