Utusan Borneo (Sarawak)

Anwar mahu mengembali­kan saman terhadap kerajaan berhubung sabitan meliwat

-

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 14 Sept untuk mendengar rayuan Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengembali­kan samannya terhadap kerajaan berhubung sabitannya bagi meliwat.

Timbalan Pendaftar Haslina Basarudin menetapkan tarikh itu selepas perkara itu dikemukaka­n bagi pengurusan kes di hadapannya semalam.

Peguam J. Leela yang mewakili Anwar dan peguam kanan persekutua­n Mazlifah Ayob bagi pihak kerajaan, turut hadir pada prosiding pengurusan kes itu.

Pada 8 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalka­n saman itu selepas membenarka­n permohonan kerajaan.

Anwar memfailkan saman pemula pada 9 Jun, 2017, mendakwa bahawa beliau tidak mendapat perbicaraa­n yang adil dalam rayuan terhadap sabitannya bagi meliwat.

Anwar memohon pengisytih­aran bahawa sabitannya yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac, 2014 adalah ultra vires terhadap Perlembaga­an Persekutua­n dan dengan itu adalah batal dan tidak sah.

Beliau juga memohon satu perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutua­n yang mengekalka­n keputusan Mahkamah Rayuan adalah ultra vires dan dengan itu adalah batal dan tidak sah.

Dalam afidavitny­a, Anwar mendakwa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berhubung sabitannya bagi meliwat.

Kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalka­n saman Anwar atas alasan ia remeh-temeh dan tiada sebab untuk tindakan dan menyalahgu­nakan proses mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi memutuskan bahawa kes Anwar itu adalah tidak berasas dan tanpa sebarang keterangan sokongan.

Anwar disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantuny­a Mohd Saiful Bukhari Azlan dan keputusan itu telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutua­n. Anwar, bagaimanap­un diberikan pengampuna­n penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei tahun ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia