Utusan Borneo (Sarawak)

Kes curi, lelaki direman empat hari

-

MIRI: Mahkamah Majistret memerintah­kan seorang lelaki supaya direman empat hari untuk membantu siasatan lanjut polis berhubung satu kes curi perahu berserta enjin sangkut milik seorang warga emas.

Suspek, 30, dari Kampung Subak, Bekenu diperintah­kan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut keterangan penolong pegawai penyiasat, Sarjan Johnny Mathew Jang ketika mengemukak­an permohonan reman semalam memberitah­u pada 15 Julai lalu, seorang pekebun telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri.

Dalam aduannya, pengadu, 62, mendakwa sekitar jam 10.30 malam, 14 Julai lalu, di kawasan setinggan Pujut Cor- ner beliau mendapati sebuah perahu berserta sebuah enjin sangkut miliknya telah hilang, dipercayai dicuri.

Pengadu yang kemudian membuat pemeriksaa­n di sekitar sungai berjaya menemukan perahunya, manakala enjin sangkutnya tidak ditemui.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 4 petang, 16 Julai lalu di sebuah kawasan lapang tepi sungai Pujut Corner, sepasukan polis diketuai ASP Unang Giang berjaya memberkas seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Sekitar jam 4.30 petang hari sama, sepasukan polis dengan dipandu arah suspek telah pergi ke sebuah kedai di kawasan Pujut 1 dan menjumpai sebuah enjin sangkut yang diletakkan di dalam kotak di premis tersebut.

Enjin sangkut itu kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes dan suspek ditangkap serta dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Dalam permohonan lanjutnya Johnny memberitah­u, reman empat hari ke atas suspek amat diperlukan untuk membolehka­n polis melengkapk­an kertas siasatan yang dibuka mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk menjalanka­n siasatan lanjut untuk mengetahui sejauhmana penglibata­n suspek dalam kes-kes kecurian.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarka­n reman selama empat hari ke atas suspek dan tempoh reman akan tamat pada 21 Julai ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia