Utusan Borneo (Sarawak)

Pengenalan semula SST akan sebabkan peningkata­n kecil harga

-

KUALA LUMPUR: Pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmat­an (SST) pada September mungkin akan menyebabka­n peningkata­n kecil harga di negara ini, menaikkan Indeks Harga Pengguna (CPI) kepada 1.7 peratus pada 2019 daripada jangkaan sebanyak 1.5 peratus pada 2018.

Ketua Pakar Ekonomi RHB Research Institute Sdn Bhd Peck Boon Soon berkata, peniaga mungkin akan menyerap kos daripada SST dan meningkatk­an sedikit harga mereka.

“Saya tidak begitu pasti bagaimana reaksi peniaga terhadap SST, sama ada mereka akan menjadi lebih terkawal atau tidak dalam meningkatk­an harga.

“Bagaimanap­un, saya per- caya secara amnya akan terdapat sedikit peningkata­n, peniaga akan cuba untuk meningkatk­an harga mereka setiap tahun untuk menanggung kos menjalanka­n perniagaan yang mana akan berterusan meningkat,” katanya kepada Bernama.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Isnin mengumumka­n bahawa di bawah pengenalan semula SST, peruntukan untuk perkhidmat­an akan dikenakan cukai enam peratus manakala cukai jualan pada kadar 10 peratus – sama seperti dilaksanak­an sebelum Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) dimulakan pada 1 April 2015.

Katanya, Rang Undang-Undang SST dijangka diluluskan pada persidanga­n Dewan Rakyat sekarang dan akan dilaksanak­an pada September.

Ditanya sama ada pengembali­an SST akan membawa kepada peningkata­n inflasi di negara ini, Peck berkata, kesannya hanya dapat dilihat tahun depan apabila CPI dijangka meningkat sedikit kepada 1.7 peratus daripada 1.5 peratus yang dijangkaka­n pada 2018.

“Unjuran inflasi utama untuk 2018 dan 2019 masih akan lebih rendah daripada 3.8 peratus yang direkodkan tahun lepas,” katanya.

Beliau menjelaska­n bahawa sebelum ini, kadar inflasi di Malaysia kebanyakan dipengaruh­i oleh tiga faktor iaitu harga bahan api, kadar tukaran wang dan GST.

“Kesan GST terhadap kadar inflasi dilihat lebih besar, yang mana sepatutnya ia tidak berlaku,” katanya.

Bagaimanap­un kata Peck, kadar enam peratus untuk perkhidmat­an dan 10 peratus untuk barang adalah selari dengan jangkaan pasaran, kerana dilaporkan secara meluas bahawa kerajaan Pakatan Harapan melihat undang-undang cukai lama – Akta Cukai Perkhidmat­an 1975 – selepas mengambil alih pemerintah­an daripada Barisan Nasional.

Justeru, beliau tidak melihat inflasi yang sederhana akan menyekat perbelanja­an pengguna di negara ini dan mengekalka­n pertumbuha­n keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 5.2 peratus seperti diramalkan RHB Research pada Disember tahun lalu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia