Surau Kampung Melayu Tubau kini lebih selesa untuk digunakan
BINTULU: Masyarakat Islam di Kampung Melayu Tubau kini dapat menikmati keselesaan untuk beribadah berikutan Surau Darul Islah di kampung terbabit telah dibaik pulih dan dinaik taraf sebagai surau yang lengkap dengan kemudahan.
Kos baik pulih dan naik taraf surau terbabit mencecah RM200,000 dengan tempoh pembinaan selama empat bulan bermula Ogos hingga Disember tahun lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon menyempurnakan perasmian surau tersebut pada 15 Julai lepas sempena program Ramah Mesra Aidilfitri di pekarangan surau terbabit.
Pada majlis itu, Kennedy mengumumkan peruntukan RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Tubau untuk membantu penduduk menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Kennedy turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pengelola yang menganjurkan majlis seumpamanya untuk tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2016 yang mana kesemuanya telah dihadirinya.
Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Kampung Melayu Tubau merangkap pengerusi pengelola majlis Shamsuddin Abdul Razak memohon pertimbangan Kerajaan Sarawak meluluskan dana bagi membolehkan projek pembesaran Kampung Melayu Tubau dilaksanakan secepat mungkin.
Beliau turut memohon agar kerajaan melalui wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum dapat membina sebuah dewan masyarakat untuk kegunaan komuniti di kawasan Tubau.
Majlis tersebut merupakan anjuran bersama JKKK, Surau Darul Islah dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu ( PBB) Ranting Kampung Melayu Tubau.
Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Ketua Cawangan PBB Murum Mujah Lihan, Pegawai Tadbir Seksyen Pentadbiran dan Kewangan Pejabat Residen Bahagian Bintulu Saifulbahry Alwie, Penghulu Morshidi Tali, Penghulu Awai Anyi, Ketua Kaum Kampung Melayu Belaga Awang Japar Awang Akbar serta ketua-ketua kaum di kawasan Tubau.
Seramai 600 tetamu dari Belaga, Sungai Asap, Labang dan Bintulu menghadiri majlis tersebut yang bertemakan ` Raikan Aidilfitri Dalam Kepelbagaian Kaum’ dengan sasaran memupuk keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di kawasan terbabit.
Majlis turut diserikan dengan persembahan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Balai Tubau membabitkan tarian zapin, tarian tradisional Orang Ulu, persembahan nyanyian lagu-lagu raya oleh Din Glamour dan cabutan bertuah.