Ketua masyarakat, tuai rumah dan ahli MDSA lawat Kompleks DUN
KUCHING: Sebahagian daripada ketua masyarakat dan tuai rumah dari kawasan Sri Aman dan ahli Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) baru-baru ini mengadakan lawatan ke Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa berlangsungnya Persidangan DUN di bandar raya ini.
Lawatan yang disertai seramai 25 orang itu diketuai Penghulu Tiong Chong Onn dan Pegawai Bomba Kanan II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman Jilin Itar yang turut bertindak sebagai jurucakap kepada rombongan terbabit.
Semasa lawatan itu, rombongan terbabit didedahkan secara langsung proses Persidangan DUN di dewan khas yang dilengkapi dengan skrin besar.
Selain itu, mereka turut berpeluang mengadakan pertemuan dengan pemimpinpemimpin Sarawak sambil mempelajari protokol sesebuah sidang dijalankan.
Menyambut ketibaan rombongan terbabit ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Kesejahter- aan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing.
Jilin yang ditemui merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pemimpin Kerajaan Sarawak kerana memberi peluang untuk mereka menghadiri sidang tersebut.
Menurutnya, pengalaman menyaksikan secara dekat sidang DUN berlangsung dianggap sesuatu yang amat berharga buat mereka.
“Bukan sekadar menarik apabila dapat melihat para wakil rakyat menyampaikan hujah masing-masing dalam sidang tetapi apa yang penting kami dapat mengetahui mengenai isu-isu rakyat serta rancangan pembangunan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, rombongan terbabit turut berkesempatan merakam kenangan bersama Dr Sim dan beberapa wakil rakyat di negeri ini selain menikmati juadah makanan tengah hari di Kelab Golf Sarawak.