39 pelajar CIAST lawat Taman Tumbina Bintulu
BINTULU: Dalam memperkembang minda dan peningkatan ilmu, 39 pelajar Kampus Satelit Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Bintulu telah mengadakan lawatan sambil belajar di bawah Program Keselamatan dan Kesihatan ke Taman Tumbuhan dan Binatang ( Tumbina) Bintulu di sini, kelmarin.
Ketua Pelajar CIAST Bintulu merangkap ketua rombongan Jamal Hamid berkata, perkembangan minda seseorang itu berkait rapat dengan percambahan pengetahuan sama ada yang diperolehi secara formal atau tidak formal.
Katanya, jauh perjalanan seseorang pelajar itu menjadikan pengetahuannya lebih meluas dan berkembang.
Justeru katanya, diadakan program tersebut sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran pelajar CIAST bagi memberikan pendedahan kepada mereka tentang keselamatan dan kesihatan.
“Program lawatan keselamatan dan kesihatan ini juga merupakan aktiviti kokurikulum yang akan melengkapkan proses pengajaran dan pembelajaran pelajar,” ujarnya semasa dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, ilmu yang diperolehi dalam bilik kuliah dapat dipraktikkan melalui situasi sebenar yang berlaku dengan cabaran sedia ada.
Selain itu Jamal berkata, program itu juga untuk memberi peluang kepada pelajar mempraktikkan teori- teori yang dipelajari dalam kuliah, meningkatkan motivasi pelajar ke arah pencapaian pembelajaran yang baik, mempertingkat komitmen, kesedaran, kerjasama, rasa tanggungjawab pelajar terhadap kelas dan pembelajaran mereka.
Katanya, ia juga untuk mewujudkan hubungan yang erat dan suasana muhibah melalui aktiviti yang dilaksanakan.
Terdahulu, mengalu-alukan ketibaan para pelajar Kampus Satelit CIAST Bintulu ialah Pengurus Taman Tumbina Bintulu Kamil Bujang serta kakitangan Taman Tumbina Bintulu.