Jelajah Boling Para Dunia 2018 Pusingan Ketiga akan berlangsung dari 23 hingga 29 Julai di Megalanes Sarawak
KUCHING: Sarawak diberi penghormatan sebagai venue temasya berprestij, Jelajah Boling Para Dunia 2018 Pusingan Ketiga yang akan berlangsung dari 23 hingga 29 Julai ini di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jelajah julung kali diadakan di Malaysia itu akan disertai 11 negara termasuk Malaysia membabitkan 150 atlet OKU dan pegawai.
Negara lain yang turut serta ialah Hong Kong, Jepun, Taiwan, Korea, India, Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei.
“Badan boling negara telah bersetuju untuk kejohanan ini diadakan di Sarawak. Pemilihan kita mungkin kerana kerajaan negeri amat menyokong program seperti ini atau negeri lain tidak mempunyai fasiliti seperti di sini.
“Ia memperlihatkan Malaysia dan Sarawak terutamanya amat mengambil berat mereka yang kurang bernasib baik.
“Kita mahu golongan ini dapat mengambil bahagian dalam sukan yang disertai orang normal. Itu juga sebabnya kita juga mahu menganjur Kejohanan Renang Para Dunia,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Menurut Abdul Karim, Malaysia merupakan destinasi ketiga jelajah tersebut pada tahun ini selepas Singapura pada Februari dan
Badan boling negara telah bersetuju untuk kejohanan ini diadakan di Sarawak. Pemilihan kita mungkin kerana kerajaan negeri amat menyokong program seperti ini atau negeri lain tidak mempunyai fasiliti seperti di sini. Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan
Hong Kong pada Mac.
Jelasnya, atlet akan bertanding dalam empat kelas ketidakupayaan fizikal iaitu cacat penglihatan ( B1, B2 & B3), kecacatan intelek ( B4), berkerusi roda ( B8) dan cacat fizikal ( B9 & B10).
“Kejohanan ini mendapat pengiktirafan Persatuan Sukan Buta Antarabangsa ( IBSA) dan Jawatankuasa Paralimpik Asian ( APC) sebagai standard kelayakan minimum (MQS) atlet untuk layak bertanding di Sukan Para Asian 2018 di Indonesia.
“Mereka yang bertanding pada kejohanan ini akan mendapat mata untuk membolehkan mereka bertanding di Indonesia. Justeru, mereka akan menghantar atlet terbaik kerana semuanya mahu datang untuk menang,” tambah beliau.
Malaysia akan mempertaruh seramai 13 atlet dengan empat daripadanya merupakan atlet Sarawak.
Tumpuan peminat pasti terarah kepada lima pemenang pingat emas Sukan Para Incheon 2014 dari Korea yang turut serta iaitu Jung Hoon Kim (B1), Young Bae Koh (B2), Jin Hyung Bae (B3), Min Kyu Kwon (B8) dan Jin Ho Min (B9).
Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) Dr Ong Kong Swee, Naib Presiden Majlis Paralimpik Malaysia ( MPC) Dato Subramaniam Raman, Pengurus Besar MPC Mohan Govindasamy dan Naib Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) Robert Lu.