Persidangan TriBE 2018 akan melancarkan BESarawak Alliance
KUCHING: Persidangan ‘Business Events Tribal Meet’ (TriBE) 2018 yang akan berlangsung pada 24 Ogos 2018, akan melancarkan BESarawak Alliance iaitu platform bersekutu khusus untuk kementerian dan agensi kerajaan untuk meneruskan transformasi ekonomi Sarawak.
Dimulakan oleh Biro Konvensyen Sarawak ( SCB), sebuah agensi negeri di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, platform bersekutu itu dibuat dengan tujuan mewujudkan peluang kerjasama antara kementerian dan agensi kerajaan melalui acara perniagaan seperti mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran.
Ini kerana ia merupakan cara berkesan mempercepatkan perdagangan dan pelaburan, memperluaskan kawasan fokus utama Sarawak dan melipatgandakan rangkaian global.
“Bukan sahaja acara perniagaan merupakan sumber pendapatan langsung ekonomi yang menguntungkan, tetapi limpahan ke kawasan sektor utama lain adalah penting dalam mewujudkan Sarawak yang mampan dan kuat.
“Melalui kerjasama yang erat antara kementerian dan agensi lain, acara perniagaan dapat diperkuat sebagai pemacu penting bagi pembangunan negeri,” kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dalam kenyataan media di sini, semalam.
Ketua Pegawai Operasi SCB Amelia Roziman berkata, BESarawak Alliance juga akan memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai model peralihan bagi destinasi peringkat kedua dan ketiga di rantau ini.
“Sebagai destinasi yang progresif, pencapaian Sarawak sangat luar biasa. Dalam usaha untuk mencapai pertumbuhan akan datang, langkah kita seterusnya adalah memerlukan pemahaman umum daripada akar umbi bahawa acara perniagaan merupakan usaha untuk memacukan pembangunan negara.
“Kita telah mendapat sokongan besar daripada beberapa kementerian kerajaan pada masa lalu. Dan sebaliknya, portfolio mereka telah memberi manfaat kepada acara perniagaan ini terutama melibatkan pengetahuan, penubuhan perkongsian baharu dan perspektif yang diperbaharui,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Hubungan Kerajaan dan Industri SCB Chew Chang Guan yang juga pengurus projek untuk BESarawak Alliance mengalu- alukan penyertaan kementerian dan agensi di TrIBE 2018.
“Tanpa sokongan mereka, Sarawak tidak akan berada di tempat sekarang. Bukan sahaja saya teruja untuk mengiktiraf sumbangan mereka di TrIBE 2018 tetapi juga mengalu- alukan kerjasama baharu dalam merapatkan jurang dan membuka perhubungan baharu sesama mereka,” katanya.
Selain pelancaran BESarawak, TrIBE 2018 juga akan menampilkan barisan penceramah utama, persatuan daripada pihak berkuasa global acara perniagaan dan anugerah utama bagi rakan kongsi sektor- Anugerah Anak Sarawak Kesembilan.
Untuk maklumat lanjut mengenai TriBE 2018, sila layari http://www.tribe-assembly.com/ atau hubungi penganjur persidangan TrIBE 2018 Terence Lim daripada Borneo Tru Event di talian 013-8393365.